PUTRAJAYA, 4 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh keupayaan forensik digital menerusi penyertaan dalam kursus Amped Authenticate bertaraf antarabangsa di Trieste, Itali sebagai persediaan menghadapi cabaran jenayah siber dan manipulasi bukti digital yang semakin kompleks.
SPRM memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) dalam mengesan, menganalisis dan mengesahkan ketulenan barang kes berbentuk imej, audio dan rakaman video yang disyaki telah diubah suai, dimanipulasi atau dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan deepfake atau palsu asli.
"Latihan berimpak tinggi ini fokus kepada pelbagai teknik forensik visual termasuk analisis metadata, cap jari kamera, pengesanan suntingan imej, penilaian ketekalan fizikal dam kaedah pengesanan deepfake bagi memastikan setiap bukti digital yang dikemukakan mempunyai tahap ketulenan tinggi dan mampu menyokong keterangan pakar di mahkamah," menurut SPRM dalam kenyataan hari ini.
Menurut SPRM, bagi menangani ancaman teknologi Generative AI yang berupaya meningkatkan risiko pemalsuan bahan bukti digital, BFT SPRM mengaplikasikan teknik forensik seperti analisis Photo Response Non-Uniformity (PRNU), JPEG Dimples, Shadows & Reflections, dan pengesanan deepfake bagi mengenal pasti secara saintifik sama ada sesuatu bahan bukti adalah asli atau telah dimanipulasi.
Sementara itu, laporan analisis yang dijana menerusi perisian Amped Authenticate turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mematuhi standard ISO/IEC 17025 bagi makmal forensik.
Menurut SPRM, setiap analisis yang dijalankan adalah berdasarkan prinsip saintifik yang kukuh termasuk statistik PCE (Peak-to-Correlation Energy) untuk PRNU, analisis kuantisasi JPEG, serta geometri bayangan dan pantulan sekali gus menjamin bukti yang dikemukakan adalah tulen, sah dan tidak boleh dipertikaikan.
Menerusi latihan itu juga, pegawai forensik SPRM berupaya memberikan keterangan pakar di mahkamah berasaskan metodologi saintifik, telus, dan kukuh mengikut peruntukan Akta Keterangan 1950 (Akta 56).
"Langkah proaktif ini dijangka meningkatkan kesiapsiagaan BFT SPRM dalam mengendalikan kes-kes kompleks yang melibatkan bukti digital, di samping memperkukuh integriti proses siasatan dan pendakwaan serta melindungi kepentingan awam daripada sebarang cubaan manipulasi bukti yang boleh menjejaskan keadilan," menurut suruhanjaya itu.
Kursus selama empat hari bermula 28 hingga 31 Julai lepas itu telah dihadiri Pengarah BFT SPRM Wan Zulkifli Wan Jusoh, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Mohd Shahril Che Saad serta dua pegawai BFT iaitu Dr Syah Reezal Md Bashah dan Muhamad Khairi Mohamad Dain.
-- BERNAMA