KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Profesor Emerita Tan Sri Datuk Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin atas pengurniaan Anugerah Tokoh Wanita Cemerlang bagi Pembangunan Sosial.
Anwar berkata pengiktirafan yang dikurniakan oleh Raja Permaisuri Thailand Ratu Suthida Bajrasudhabimalalakshana itu bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah menyerlahkan ketokohan, keupayaan serta sumbangan besar wanita negara ini yang terus mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi ilham kepada lebih ramai wanita untuk terus menyumbang dengan ilmu, kepimpinan dan nilai ihsan dalam membina masyarakat serta menjayakan agenda Malaysia MADANI, “ kata beliau menerusi hantaran dalam X.
Perdana Menteri berkata kerajaan MADANI akan terus berusaha memartabatkan peranan wanita, memperluas peluang penyertaan mereka dalam pelbagai bidang, serta memastikan bakat, kepimpinan dan potensi wanita terus diperkasakan sebagai antara tunjang utama pembangunan negara.
-- BERNAMA