Am 04/08/2026 06:21 PM

Pengurus Projek Direman Disyaki Terima Rasuah RM38,000 Bagi Projek Bekalan Air

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengurus Projek Direman Disyaki Terima Rasuah RM38,000 Bagi Projek Bekalan Air
Kredit: SPRM

KOTA BHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM38,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek bekalan air luar bandar di Kelantan.

Perintah reman hingga 10 Ogos terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret 1 di sini, pagi tadi.

Menurut sumber suspek ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kelantan.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2022 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan membantu mendapatkan projek bekalan air luar bandar secara rundingan terus daripada sebuah kementerian.

Sumber memaklumkan suspek dipercayai menerima wang rasuah itu secara tunai selain melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadinya serta beberapa akaun pihak ketiga.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA