Am 04/08/2026 05:16 PM

TPM Kemboja Berlepas Pulang Selepas Akhiri Lawatan Rasmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TPM Kemboja Berlepas Pulang Selepas Akhiri Lawatan Rasmi
Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Prak Sokhonn berlepas pulang selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

SEPANG, 4 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Prak Sokhonn berlepas pulang selepas mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.

Sokhonn dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dengan menaiki penerbangan komersial menuju ke Phnom Penh pada 4.45 petang. 

Turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada Sokhonn dan delegasinya ialah Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli.

Sokhonn memulakan lawatan beliau pada Isnin menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja pada 2027, sekali gus mencerminkan hubungan rapat dan berpanjangan antara kedua-dua negara.

Semalam, beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri, menyaksikan kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen untuk memperkukuh  hubungan, serta membincangkan usaha memperkasakan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi digital, kecerdasan buatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pembangunan modal insan.

Selain itu, Sokhonn dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama untuk Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja di ibu begara hari ini, sekali gus menyambung kembali mekanisme dua hala itu yang sebelum ini terhenti selama 20 tahun.

Malaysia dan Kemboja merekodkan pertumbuhan perdagangan yang kukuh pada 2025, dengan perdagangan dua hala meningkat 27.4 peratus tahun ke tahun kepada RM5 bilion (USD1.17 bilion). Eksport Malaysia ke Kemboja berjumlah RM4.13 bilion (USD970 juta), manakala import berjumlah RM880 juta (USD$200 juta).

Setakat 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja berjumlah USD$3.20 bilion (RM13.07 bilion) menerusi 162 projek berdaftar, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pelabur asing ketiga terbesar di Kemboja.

-- BERNAMA