Am 04/08/2026 07:47 PM

GFM Services Peroleh Pesanan Pelepasan RM83.1 Juta Bagi Kerja Penyelenggaraan Loji Di PIC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GFM Services Peroleh Pesanan Pelepasan RM83.1 Juta Bagi Kerja Penyelenggaraan Loji Di PIC

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- GFM Services Bhd menerusi unit tenaganya memperoleh pesanan pelepasan tambahan berjumlah RM83.1 juta bagi pakej kerja penyelenggaraan loji utama di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor.

Syarikat itu memaklumkan pesanan pelepasan tersebut terdiri daripada RM16.3 juta yang diperoleh  anak syarikat milik penuhnya, Highbase Strategic Sdn Bhd, daripada Petronas Chemicals Isononanol Sdn Bhd dan RM66.8 juta oleh anak syarikat tidak langsung milik 60 peratusnya, Shapadu CR Asia Sdn Bhd (SCRA) daripada Pengerang Refining Company Sdn Bhd.

"Pesanan pelepasan ini diperoleh di bawah kontrak mekanikal penyelenggaraan bersepadu dan mekanikal statik penyelenggaraan sedia ada GFM Services.

"Kerja-kerja itu dijangka bermula pada 2027," menurut  syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu itu, dengan pesanan pelepasan bernilai RM148.2 juta yang diumumkan pada 10 Julai 2026, kumpulan itu kini memperoleh pakej kerja dengan nilai kumulatif RM231.3 juta untuk kitaran kerja penyelenggaraan akan datang di PIC.

PIC, yang memulakan operasinya pada 2019, sedang membuat persediaan untuk kitaran kerja penyelenggaraan utamanya yang pertama.

GFM memaklumkan kerja penyelenggaraan itu melibatkan pemeriksaan dan penggantian di seluruh kompleks hiliran bersepadu untuk menyokong keselamatan dan kecekapan operasinya yang berterusan.

"Skop tambahan yang diperoleh Highbase dan SCRA menambah keperluan jam kerja yang telah dikenal pasti untuk pesanan pelepasan Julai, sekali gus mengukuhkan lagi skala program penyelenggaraan.

"Kumpulan menjangkakan pesanan pelepasan itu akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2027," menurut GFM.

Pengarah Urusan Kumpulan GFM, Ruslan Nordin berkata kontrak terbaharu itu membuktikan kepakaran dan keupayaan yang dibangunkan oleh kumpulan itu merentasi bahagian tenaganya dan juga mengukuhkan kedudukan GFM sebagai penyedia perkhidmatan utama dalam industri minyak dan gas hiliran Malaysia.

Selain Highbase Strategic dan SCRA, segmen tenaga GFM juga terdiri daripada HIMS Integrated Services Sdn Bhd, usaha sama 51 peratus miliknya dengan penyedia penyelesaian bersepadu minyak dan gas yang berpangkalan di Singapura, Mun Siong Engineering Ltd.

-- BERNAMA