Am 04/08/2026 09:06 PM

Ledakan Pusat Data Perkukuh Keupayaan Keselamatan Siber Malaysia - Kaspersky

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ledakan Pusat Data Perkukuh Keupayaan Keselamatan Siber Malaysia  - Kaspersky

Daripada K. Naveen Prabu

GUANGZHOU, 4 Ogos (Bernama) -- Industri pusat data Malaysia yang berkembang pesat dijangka memperkukuh keupayaan keselamatan siber negara, menurut syarikat keselamatan siber global, Kaspersky.

Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik Adrian Hia berkata kemunculan Malaysia sebagai hab pusat data serantau akan membantu meningkatkan standard keselamatan siber di seluruh ekosistem digital negara.

"Melihat bagaimana Singapura yang mendapat manfaat apabila penyedia pusat data berskala besar (hyperscalers) seperti Amazon, Microsoft Azure dan Google menubuhkan pusat data serantau pertama mereka di negara itu beberapa tahun lepas, Malaysia juga berpotensi menikmati manfaat yang sama.

"Apabila pengendali ini membawa standard keselamatan siber yang lebih tinggi serta perlindungan yang lebih kukuh, standard tersebut akan turut mempengaruhi keseluruhan ekosistem," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di luar acara Kaspersky Cybersecurity Weekend 2026, di sini hari ini.

Hia berkata seiring ledakan ini perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh keselamatan siber memandangkan sektor itu semakin terdedah kepada ancaman siber.

"Penjenayah siber kini tidak lagi hanya menyasarkan organisasi besar yang mampu membayar wang tebusan (ransomware) sebanyak RM1 juta atau RM2 juta. Kini, mereka juga berpuas hati dengan RM20,000, iaitu jumlah yang mampu dibayar oleh kebanyakan PKS," katanya.

Beliau berkata perkembangan itu memperlihatkan keperluan untuk memperkukuh amalan kebersihan siber, meningkatkan kesedaran serta menambah perbelanjaan bagi aspek keselamatan siber, khususnya dalam kalangan PKS di Malaysia.

"Sebagai antara syarikat keselamatan siber terkemuka, kami turut memainkan peranan dengan menjalin pelbagai program bersama  universiti di Malaysia bagi berkongsi pengetahuan serta kurikulum berkaitan keselamatan siber. Inisiatif ini bukan berorientasikan keuntungan dan kami akan terus menyokongnya," katanya.

-- BERNAMA