Am 04/08/2026 08:41 PM

Dua Lelaki Tempatan Dipenjara, Gagal Bayar Denda Kerana Seleweng LPG

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Lelaki Tempatan Dipenjara, Gagal Bayar Denda Kerana Seleweng LPG
Gambar Hiasan

PUTRAJAYA, 4 Ogos (Bernama) -- Dua lelaki warga tempatan dipenjarakan enam bulan selepas gagal membayar denda RM120,000 setiap seorang yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas didapati bersalah menyeleweng Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam dalam kenyataan hari ini berkata mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas lelaki berusia 51 dan 27 tahun itu semalam. 

“Keputusan dibuat pada akhir pembelaan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan telah memanggil lapan saksi dan mengemukakan 89 barang kes,” katanya. 

Azman berkata dua lelaki itu disabitkan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama-sama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau berkata mahkamah turut memerintahkan sebuah lori serta hasil jualan berjumlah RM13,127.50 dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Azman berkata kegiatan lelaki tersebut terbongkar menerusi serbuan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya pada 16 Nov 2023 di sebuah premis di Jalan Dengkil-Banting, Kampung Dengkil, Sepang yang menemukan 3,450 kilogram LPG bersubsidi meliputi tong berisi dan tong kosong pelbagai jenama. 

“Semasa serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa mendapati mereka sedang memunggah tong LPG dari lori ke kawasan stor penyimpanan yang beroperasi tanpa lesen atau permit yang sah,” katanya.

Selain itu, pemeriksaan juga menemukan telefon bimbit dan dokumen penghantaran yang menimbulkan syak mereka menjalankan urus niaga LPG secara borong tanpa lesen yang sah.

Azman berkata KPDN tidak akan berkompromi terhadap pihak terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi dengan tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan.

Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi menerusi WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 dan Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA