Dunia 04/08/2026 09:10 PM

Australia Lancar Program Biasiswa Baharu, Perkukuh Hubungan Dengan Malaysia Menerusi Pendidikan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Australia Lancar Program Biasiswa Baharu, Perkukuh Hubungan Dengan Malaysia Menerusi Pendidikan
Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa Australia Julian Hill berucap pada pelancaran Program Semester Anugerah Australia-Malaysia di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia melancarkan Program Semester Anugerah Australia-Malaysia, satu inisiatif biasiswa baharu bertujuan untuk membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia melanjutkan pengajian mereka di Australia.

Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa Australia Julian Hill, ketika merasmikan program itu, berkata ia mencerminkan komitmen jangka panjang Australia untuk memperdalam hubungan sesama rakyat dengan Malaysia dengan memberi lebih ramai anak muda Malaysia peluang untuk merasai kehidupan dan belajar di Australia sambil membina hubungan sepanjang hayat antara kedua-dua negara.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke, Pengerusi MARA Dr Asyraf Wajdi Dusuki, wakil kanan universiti, pelajar dan alumni Australia.

"Lebih setengah juta rakyat Malaysia telah belajar di Australia. Kebanyakannya pulang ke tanah air, tetapi kami berharap mereka membawa pulang ‘sedikit memori Australia’ untuk sepanjang hayat mereka dan menjadi jambatan manusia antara kedua-dua dua negara kita," katanya dalam ucapan.

Hill berkata hubungan peribadi itu telah diterjemahkan kepada perdagangan yang lebih kukuh, kerjasama ekonomi dan hubungan dua hala yang berkekalan, sambil menambah bahawa pendidikan telah menyokong perkongsian Australia-Malaysia merentas generasi.

“Penting bagi Australia bahawa perkara ini adalah dua hala," katanya sambil menyatakan harapan agar lebih ramai pelajar Australia juga akan memilih untuk belajar di kampus cawangan universiti Australia di Malaysia melalui inisiatif seperti Rancangan Colombo Baharu dan program pertukaran semester.

Beliau berkata universiti Australia di Malaysia bukan sekadar institusi pengajaran tetapi juga pusat penyelidikan yang mampu menjana pengetahuan baharu dan memupuk kerjasama dalam cabaran bersama, termasuk sains perubatan, tenaga bersih, perlombongan dan pertanian.

"Kami mahu ahli akademik yang kemudiannya boleh menyelesaikan masalah yang dikongsi bersama yang boleh diusahakan oleh Australia dan Malaysia, sama ada dalam sains perubatan, tenaga bersih, perlombongan, pertanian dan semua perkara yang kami hadapi bersama," katanya.

Sambil menyifatkan program biasiswa baharu itu sebagai inisiatif inovatif oleh Suruhanjaya Tinggi Australia dan universiti rakan kongsi, Hill berkata ia mewakili cara yang lebih berkesan untuk "membelanjakan wang pembayar cukai Australia" dengan membolehkan lebih ramai golongan muda dari kedua-dua negara memahami antara satu sama lain menerusi pendidikan.

Hill berkata kohort sulung 16 pelajar Malaysia di bawah Program Semester Anugerah Australia–Malaysia telah pun memulakan pengajian mereka di Australia selepas berlepas awal tahun ini untuk pengambilan Julai, menandakan program perintis pengambilan pertama.

Mengenai masa depan program itu, beliau berkata kerajaan Australia telah memberikan pembiayaan untuk tempoh awal empat tahun, selaras dengan kitaran belanjawannya, sambil menyatakan harapan bahawa inisiatif itu akhirnya akan menjadi program jangka panjang.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Australia, program perintis itu menyediakan sokongan kewangan untuk pelajar prasiswazah dan pascasiswazah yang mendaftar di kampus cawangan Australia di Malaysia untuk belajar di Australia sehingga dua semester, meliputi perjalanan antarabangsa, penginapan, perbelanjaan sara hidup, visa, insurans dan kos lain yang berkaitan.

Institusi yang mengambil bahagian pada masa ini terdiri daripada Universiti Curtin Malaysia, Universiti Monash Malaysia dan Universiti Wollongong Malaysia, manakala kesemua empat kampus cawangan universiti Australia di Malaysia, termasuk Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, telah dijemput untuk menyertai program perintis itu, yang bermula Julai tahun ini.

-- BERNAMA