KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Negara melabuhkan tirainya hari ini selepas bersidang selama 10 hari, menyaksikan 12 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.
Sepanjang persidangan yang berlangsung sejak 20 Julai lalu, Dewan Negara turut membahaskan dua usul berkaitan pentadbiran kerajaan pada sesi Ucapan Penangguhan mengikut Peraturan Mesyuarat 16. Usul berkenaan dikemukakan buat kali pertama sejak 2022.
Dua usul itu membabitkan ancaman e-dagang rentas sempadan berharga ekstrem, khususnya platform Pinduoduo dan Temu, terhadap ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor peruncitan negara, selain cadangan penyediaan kemudahan undi awal atau undi pos kepada anggota Polis Bantuan.
Antara RUU yang diluluskan ialah RUU Jenayah Siber 2026, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026, RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, RUU Persaingan (Pindaan) 2026 dan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026.
Turut diluluskan ialah RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026, RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026, RUU Profesion Kerja Sosial 2026, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 serta RUU Statistik 2026.
Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dalam ucapan penangguhannya hari ini berkata kepelbagaian pandangan yang dikemukakan senator daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran telah memperkayakan proses semak dan imbang serta penggubalan undang-undang yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi berparlimen negara.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, beliau menyeru semua pihak agar memperbaharui iltizam mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan, mendaulatkan undang-undang serta memelihara perpaduan sebagai asas kekuatan negara.
-- BERNAMA