KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Vantris Energy Bhd memperoleh kontrak bernilai RM830 juta bagi perkhidmatan pengangkutan, pemasangan dan pelantar penggerudian dibantu kapal sokongan (TADR) di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan dan penyelesaian tenaga bersepadu itu menyatakan kontrak berkenaan ditawarkan kepada anak-anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, VTEB Offshore Sdn Bhd dan VTEB Drilling Asia Sdn Bhd.
Kedua-dua syarikat berkenaan mengendalikan perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C) serta penggerudian.
Di bawah segmen E&C miliknya, VTEB Offshore menerima perintah kerja daripada Petronas Carigali Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan pemasangan (T&I) luar pesisir di bawah kontrak sedia ada bagi kemudahan luar pesisir.
Menurutnya, kerja-kerja berkenaan bermula pada suku kedua 2026 dan dijangka siap pada suku ketiga 2027.
Sementara itu, perniagaan penggerudiannya memperoleh notis penyerahan hak (NOA) daripada Petronas Carigali serta kontrak baharu daripada Vestigo Petroleum Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan TADR.
NOA dan kontrak baharu berkenaan dijangka bermula secara berturutan pada suku ketiga 2026 melibatkan program penggerudian pembangunan luar pesisir di Malaysia.
“Dengan penambahan baharu ini, nilai perolehan kontrak syarikat kini melebihi RM6 bilion.
"Ini mencerminkan tumpuan berterusan Vantris Energy dalam membina nilai perolehan kontrak yang mampan dan berkualiti tinggi melalui peluang yang selaras dengan keupayaan terasnya, kepastian pelaksanaan serta penciptaan nilai jangka panjang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy Muhammad Zamri Jusoh memberitahu selepas penyelesaian proses penstrukturan semula kumpulan, syarikat itu memasuki tahun kewangan baharu dengan hala tuju strategik yang lebih jelas serta asas operasi yang lebih kukuh.
“Tawaran kontrak ini mencerminkan kemajuan berterusan yang kami capai dalam membina semula perniagaan melalui pelaksanaan yang berdisiplin dan bertumpu.
“Keutamaan kami adalah untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran teras yang mempunyai keupayaan terbukti, hubungan pelanggan yang kukuh serta rekod prestasi pelaksanaan yang baik,” katanya.
Bagi perniagaan E&C, Muhammad Zamri berkata syarikat itu kekal memberi tumpuan kepada peluang yang seiring dengan kekuatan pemasangan luar pesisir serta profil risiko yang seimbang manakala perniagaan penggerudiannya terus memperkukuh kedudukannya selaku peneraju pasaran dan kebolehpercayaan operasi.
“Secara keseluruhannya, tawaran kontrak ini mengukuhkan komitmen kami untuk mengubah kejayaan dengan memperoleh nilai perolehan kontrak yang berkualiti kepada pelaksanaan yang konsisten bagi menyokong prestasi operasi dan kewangan yang lebih kukuh,” tambah beliau.
-- BERNAMA