Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 4 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menggariskan pada Selasa tiga visi utama Thailand untuk masa depan ASEAN, dengan menggesa pembentukan blok serantau yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berteraskan rakyat.
Semasa menyampaikan visi itu dalam ucapannya di Sekretariat ASEAN (ASEC) di Jakarta, Anutin berkata ASEAN mesti mengukuhkan semangat keserantauan, membina daya tahan terhadap ketidaktentuan global dan memberikan manfaat lebih nyata kepada rakyatnya, sambil menekankan keperluan tindakan bersama serantau bagi menangani cabaran yang dikongsi.
"Cabaran serantau memerlukan penyelesaian serantau kerana cabaran geopolitik, ekonomi, teknologi dan keselamatan hari ini tidak boleh diselesaikan oleh mana-mana negara secara bersendirian," katanya.
Teks ucapan Anutin dikongsi oleh Jurucakap Kerajaan Thailand Ratchada Thanadirek.
Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia berkata perpaduan dan pemusatan ASEAN kekal penting dalam dunia yang semakin berpecah-belah, sambil menambah bahawa prinsip konsensus dan tidak campur tangan perlu digunakan dengan lebih fleksibel bagi membolehkan tindak balas lebih berkesan terhadap cabaran baharu.
Beliau turut menggesa ASEAN memperkukuh rantaian bekalan, keselamatan makanan dan tenaga, mempercepat kesalinghubungan digital, meluaskan kerjasama dengan kuasa pertengahan dan Selatan Global, serta mempersiapkan golongan belia dengan lebih baik untuk ekonomi digital.
"ASEAN tidak boleh menunggu krisis berlaku sebelum bertindak, sebaliknya perlu membuat persediaan awal," katanya.
Anutin berkata kejayaan ASEAN patut diukur melalui manfaat nyata yang dibawanya kepada rakyat, termasuk peluang ekonomi lebih kukuh, keselamatan yang dipertingkat dan tindakan lebih berkesan terhadap jenayah rentas sempadan.
Beliau turut mengetengahkan hasrat Thailand untuk memainkan peranan lebih aktif dalam mencorakkan masa depan ASEAN menjelang ulang tahun ke-60 blok itu tahun depan.
"Inilah masa depan ASEAN yang dipercayai Thailand, dan ia adalah masa depan yang mesti kita semua bina bersama," katanya.
Mengenai Myanmar, Anutin mengesahkan semula sokongan Thailand terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN sambil menyokong dasar "penyertaan semula ditentukur" untuk mengekalkan dialog dan menggalakkan kemajuan praktikal.
Beliau berkata lawatan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) baru-baru ini menemui bekas Kaunselor Negeri Myanmar Aung San Suu Kyi yang ditahan dan dilaporkan berada dalam keadaan sihat, merupakan perkembangan positif yang mencerminkan pendekatan berkenaan.
"Ini adalah perkara yang konsisten diperjuangkan Thailand, dan kami berharap untuk melihat lebih banyak perkembangan positif dalam masa terdekat," katanya.
Mengenai hubungan dengan Kemboja, Anutin berkata kedua-dua negara bersetuju untuk membina semula kepercayaan bersama dan meneruskan dialog bilateral, di samping mengesahkan semula komitmen Thailand untuk menyelesaikan perbezaan secara aman di bawah undang-undang antarabangsa.
Beliau menegaskan kesediaan Thailand untuk membuka lembaran baharu dalam hubungan dengan negara jiran itu, menyelesaikan perbezaan secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, serta memelihara perpaduan dan agenda bersama ASEAN.
Anutin tiba di Jakarta pada Isnin bagi lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 pada September 2025 dan juga buat julung kalinya bagi Perdana Menteri Thailand dalam tempoh 15 tahun.
-- BERNAMA