Dunia 04/08/2026 02:10 PM

Rumah Putih Himpunkan Wakil Syarikat Teknologi Bincang Keselamatan Ujian AI

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rumah Putih Himpunkan Wakil Syarikat Teknologi Bincang Keselamatan Ujian AI
-- REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo

WASHINGTON, 4 Ogos (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Rumah Putih merancang mengadakan perbincangan bersama wakil syarikat teknologi terbesar Amerika Syarikat (AS) mengenai kaedah pengujian model kecerdasan buatan (AI) secara selamat, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik Bloomberg.

Menurut laporan itu yang memetik sumber, persidangan keselamatan berkenaan dijadual berlangsung pada Selasa, 4 Ogos, namun pentadbiran Presiden Donald Trump dan syarikat yang diundang masih belum mengumumkannya secara rasmi.

OpenAI, Anthropic PBC dan Google milik Alphabet Inc antara syarikat AI yang dijangka menyertai persidangan itu, menurut laporan berkenaan.

Pertemuan antara wakil pentadbiran dan pemimpin industri teknologi itu diadakan susulan kebimbangan mengenai tindakan sesetengah model AI yang didakwa berlaku di luar kawalan.

Pada Julai, model AI OpenAI dilaporkan secara autonomi menggodam platform pembelajaran mesin Hugging Face.

Siasatan lanjut syarikat itu mendapati beberapa lagi ejen AI telah beroperasi di luar persekitaran terkawal.

Anthropic pula dilaporkan menjalankan siasatan dalaman dan mendapati model AI Claude telah menggodam organisasi sebenar sebanyak tiga kali ketika proses latihannya.

Pada awal Jun, Trump menandatangani perintah eksekutif yang mewajibkan penubuhan pusat penyelarasan keselamatan siber bagi kecerdasan buatan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI