PUTRAJAYA, 4 Ogos (Bernama) -- ASEAN perlu meletakkan kanak-kanak sebagai keutamaan dalam penggubalan dasar serta mempergiat usaha bersama bagi membanteras segala bentuk keganasan terhadap golongan itu, termasuk ancaman yang semakin meningkat dalam ruang digital.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata setiap kanak-kanak berhak menikmati hak asasi sama rata, iaitu hak untuk mendapat perlindungan, hidup bermaruah dan mempunyai peluang merealisasikan impian mereka.
“Asas kepada semua hak ini ialah satu prinsip, iaitu kepentingan terbaik kanak-kanak.
“Prinsip ini mesti menjadi panduan dalam setiap dasar dan keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan kanak-kanak, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Forum Kanak-Kanak ASEAN (ACF) kesembilan di sini hari ini.
Nancy berkata berdasarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), rantau Asia dan Pasifik menempatkan kira-kira 1.12 bilion kanak-kanak iaitu populasi kanak-kanak terbesar berbanding mana-mana rantau di dunia.
Di ASEAN, jumlah kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dianggarkan sekitar 200 juta orang, mewakili kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penduduk negara anggota ASEAN.
“Angka ini jelas menunjukkan bahawa masa depan ASEAN terletak di tangan kanak-kanak,” katanya.
Nancy berkata masih ramai kanak-kanak di rantau ini berdepan penderaan, pengabaian dan eksploitasi, manakala bentuk keganasan pula semakin berkembang daripada sekadar keganasan fizikal kepada buli siber, eksploitasi dalam talian serta pelbagai bentuk penderaan digital.
“Pada masa ini, keganasan terhadap kanak-kanak turut berlaku dalam ruang digital menerusi buli siber, ekploitasi dalam talian dan pelbagai bentuk penderaan lain yang menjejaskan keyakinan diri, maruah serta kesejahteraan mereka,” katanya.
Beliau berkata tema forum tahun ini Shielding ASEAN Childhood, Say No to Violence, bukan sekadar slogan sebaliknya merupakan satu seruan tindakan secara kolektif.
“Ketika ASEAN terus membina sebuah komuniti berdaya tahan, inklusif dan berteraskan rakyat, kita perlu memastikan setiap kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang dan memperkasaKAN mereka dengan hak dilindungi, suara mereka didengari serta potensi mereka dapat berkembang sepenuhnya.
“Di ASEAN, kita telah berkali-kali membuktikan kekuatan semangat perpaduan. Kita bertindak sebagai satu pasukan menerusi Pelan Tindakan Serantau ASEAN bagi Penghapusan Keganasan terhadap Kanak-Kanak.
“Kita tidak lagi hanya bertindak balas terhadap isu yang berlaku. Sebaliknya, kita giat memperkukuh sistem pencegahan, meningkatkan sokongan kepada mangsa terselamat serta menambah baik dasar bagi memastikan kanak-kanak menjadi teras agenda pembangunan,” katanya.
Sementara itu dalam sidang media, Nancy menggesa ibu bapa supaya lebih berhati-hati ketika berkongsi gambar dan maklumat peribadi anak-anak di media sosial kerana pendedahan berlebihan boleh meningkatkan risiko eksploitasi dalam talian.
“Sebagai seorang ibu dan kini nenen, saya ingin merayu kepada semua ibu bapa supaya mengutamanakn privasi anak-anak. Semakin banyak kita mendedahkan mereka di media sosial, semakin besar peluang pihak berniat jahat menjadikan mereka sasaran,” katanya.
Beliau berkata kementerian akan terus melaksanakan program kesedaran kepada ibu bapa di samping bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menggalakkan amalan penggunaan Internet selamat.
Forum selama dua hari itu menghimpunkan wakil kanak-kanak dari negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu-isu yang memberi kesan kepada golongan berkenaan serta merangka cadangan untuk dipertimbangkan pembuat dasar.
-- BERNAMA