Dunia 04/08/2026 10:49 AM

Hubungan Pertahanan Malaysia-AS Dijangka Kekal Kukuh Di Sebalik Cadangan Gantung Dana - Penganalisis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hubungan Pertahanan Malaysia-AS Dijangka Kekal Kukuh Di Sebalik Cadangan Gantung Dana - Penganalisis
Gambar Fail

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Cadangan lapan anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk menggantung dana latihan ketenteraan bagi Malaysia dijangka tidak menjejaskan hubungan pertahanan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, dengan kepentingan strategik dalam keselamatan serantau dijangka terus menjadi keutamaan.

Prof Dr Adam Leong Kok Wey dari Jabatan Strategi, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), berkata beliau tidak menjangkakan cadangan itu akan mengubah dasar pertahanan Washington yang lebih luas terhadap Malaysia.

Ketika tampil dalam program “Bernama World” baru-baru ini, beliau berkata Malaysia kekal sebagai rakan strategik penting bagi AS berikutan kedudukannya di sepanjang Selat Melaka dan Laut China Selatan, sekali gus menjadikan kerjasama pertahanan dua hala sebagai kepentingan bersama.

“Saya tidak fikir perkara itu akan menjejaskan hubungan pertahanan dan keselamatan antara kedua-dua negara,” kata beliau ketika membincangkan tajuk “Implikasi Cadangan Perubahan terhadap Dana Latihan Ketenteraan AS-Malaysia”.

Adam berkata Malaysia dan AS telah membina kerjasama pertahanan yang erat sejak beberapa dekad lalu menerusi pendidikan ketenteraan, pembangunan keupayaan, pemindahan kelengkapan pertahanan dan latihan bersama secara berkala.

Beliau berkata pegawai tentera Malaysia memperoleh manfaat daripada program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) dengan menghadiri kursus profesional di institusi ketenteraan AS.

Kedua-dua negara juga kerap mengadakan latihan bersama, termasuk latihan maritim “Cooperation Afloat Readiness and Training” (CARAT) serta latihan ketenteraan darat “Keris Strike”.

Beliau berkata kedua-dua negara berkongsi kepentingan keselamatan yang sama dalam memperkukuh keselamatan maritim serta mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Mengulas kerjasama pertahanan yang berterusan, Adam berkata AS telah membekalkan Malaysia dengan pesawat tanpa pemandu ScanEagle, sistem radar jarak jauh serta dana untuk menaik taraf pesawat CN-235 Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai platform pengawasan maritim di bawah Inisiatif Keselamatan Maritim.

-- BERNAMA