Am 04/08/2026 01:19 PM

Selangor Nilai Keberkesanan PeerZ Sebelum Diperluas Ke Seluruh Negeri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Selangor Nilai Keberkesanan PeerZ Sebelum Diperluas Ke Seluruh Negeri
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin.

SHAH ALAM, 4 Ogos (Bernama) -- Laporan keberkesanan projek rintis Program Kesedaran Kesihatan Mental Remaja (PeerZ) yang dijangka siap September ini akan menjadi asas kepada penambahbaikan modul sebelum ia diperluas ke seluruh Selangor.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata laporan yang sedang disediakan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) itu akan digunakan bagi menilai secara menyeluruh keberkesanan modul rintis serta mengenal pasti aspek yang perlu diperkukuh.

Beliau berkata pendekatan itu memastikan setiap penambahbaikan dibuat berlandaskan data serta pengalaman sebenar pelaksanaan di sekolah, sekali gus menjamin keberkesanan modul apabila dilaksanakan secara lebih meluas.

“Mereka menerima latihan berstruktur menerusi dua modul utama, iaitu Modul Kesedaran Kesihatan Mental atau MHA dan Modul Helping Skill bagi memperkukuh keupayaan memberi sokongan awal kepada rakan sebaya yang berdepan isu kesihatan mental,” katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Jamaliah menjawab pertanyaan Ong Chun Wei (PH-Balakong) tentang pencapaian yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dari segi keterlibatan bilangan sekolah, guru dan murid di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Jamaliah berkata projek rintis PeerZ bawah Inisiatif Selangor Mental Sihat (SEHAT) itu telah dilaksanakan di dua sekolah menengah di Petaling Jaya, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 3 dan SMK Bandar Utama Damansara 4, membabitkan 47 murid Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Menurut beliau, pelaksanaan program itu turut mendapat sokongan guru kaunseling, guru penasihat PRS, pentadbir sekolah serta rakan strategik daripada institusi pengajian tinggi dan badan profesional bagi memperkukuh keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan.

Selain itu, Karnival Kesedaran Kesihatan Mental Remaja turut dianjurkan di kedua-dua sekolah berkenaan dengan penglibatan menyeluruh warga sekolah bagi meningkatkan kefahaman, kesedaran serta penerimaan positif terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan remaja.

Jamaliah berkata indikator yang digunakan bagi menilai keberkesanan modul rintis itu merangkumi tahap pengetahuan dan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan peserta melalui penilaian sebelum dan selepas modul.

-- BERNAMA