Am 03/08/2026 07:27 PM

Kematian Anjing: Kertas Siasatan Dirujuk Kepada Timbalan Pendakwa Raya Dalam Masa Terdekat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kematian Anjing: Kertas Siasatan Dirujuk Kepada Timbalan Pendakwa Raya Dalam Masa Terdekat
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey

SHAH ALAM, 3 Ogos (Bernama) -- Polis sedang melengkapkan siasatan membabitkan kematian seekor anjing semasa operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada 29 Julai. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata pihaknya kini sedang melengkapkan semua bukti dan keterangan yang berkaitan, dengan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan seterusnya. 

“Polis memberi jaminan penuh bahawa siasatan akan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Lim dalam kenyataan sama turut mengesahkan satu perhimpunan yang dihadiri sekumpulan individu di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 10.15 malam semalam bertujuan untuk membuat desakan secara aman berhubung kejadian berkenaan.

Beliau turut menggesa semua pihak untuk bertenang dan memberikan ruang sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang dijalankan selain menasihati orang ramai agar tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang mampu mengganggu kelancaran siasatan. 

Sebelum ini, Lim dilaporkan berkata kertas siasatan berhubung insiden yang berlaku ketika operasi tangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kerjasama penduduk setempat telah dibuka di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA