Am 03/08/2026 07:59 PM

SPR Teliti Cadangan Kemudahan Undi Pos Bagi Anggota Polis Bantuan - Kulasegaran

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SPR Teliti Cadangan Kemudahan Undi Pos Bagi Anggota Polis Bantuan - Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperhalusi cadangan untuk menyediakan kemudahan undi pos kepada anggota polis bantuan yang menjaga aset strategik dan infrastruktur kritikal negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata penelitian itu akan mengambil kira keperluan operasi, aspek perundangan serta pelaksanaan pilihan raya.

“Walaupun kategori pengundi yang layak untuk undi awal dan undi pos adalah sebagaimana yang diperuntukkan pada masa ini, SPR mengambil maklum cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Senator.

“Kemudahan undi pos tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa serta pertimbangan terhadap kategori pengundi yang perlu bertugas semasa pilihan raya tanpa menjejaskan kelancaran proses pilihan raya dan operasi perkhidmatan penting kerajaan,” katanya.

Kulasegaran berkata demikian ketika menjawab usul berkaitan kemudahan undi awal atau undi pos bagi anggota polis bantuan yang dikemukakan Senator Datuk Salehuddin Saidin pada sesi Ucapan Penangguhan di Dewan Negara hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata SPR turut menggalakkan pengundi termasuk anggota polis bantuan memohon pertukaran bahagian pilihan raya mengikut tempat bermastautin semasa bagi memudahkan urusan mengundi.

Kulasegaran berkata ketika ini kemudahan undi pos meliputi tiga kumpulan iaitu Kategori 1A antaranya ahli dan pegawai SPR, petugas pilihan raya, anggota tentera dan polis serta pengamal media yang bertugas; Kategori 1B bagi warganegara Malaysia yang menetap di luar negara dan Kategori 1C bagi kakitangan jabatan atau agensi tertentu yang bertugas pada hari mengundi.

Kategori 1C melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sukarelawan Simpanan Polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara di Pusat Transformasi Bandar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Energy Sdn Bhd.

Terdahulu, Salehuddin ketika mengemukakan usul berkenaan berkata terdapat kira-kira 27,000 anggota polis bantuan yang berkhidmat di pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pengendali pengangkutan awam, lapangan terbang, pelabuhan, sektor tenaga, utiliti, institusi kewangan, industri minyak dan gas serta pelbagai infrastruktur kritikal negara.

Beliau berkata anggota polis bantuan ketika ini tidak diberikan kemudahan undi awal atau undi pos seperti beberapa kategori petugas keselamatan lain, sekali gus berisiko menjejaskan hak mengundi mereka sekiranya tidak diberi pelepasan bertugas pada hari pengundian selain risiko kekurangan anggota di aset strategik jika kesemua mereka bercuti serentak pada hari mengundi.

Sehubungan dengan itu, Salehuddin mencadangkan kerajaan menerusi SPR, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan menjalankan kajian menyeluruh bagi mempertimbangkan kelayakan anggota polis bantuan yang bertugas pada hari pengundian untuk mengundi secara undi awal atau undi pos, termasuk melalui pindaan peraturan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 1981.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah sebelum menangguhkan sidang hari ini berkata usul berhubung hal pentadbiran berkaitan kerajaan itu merupakan kali pertama dikemukakan pada sesi Ucapan Penangguhan di Dewan Negara sejak 2022 di bawah Peraturan Mesyuarat 16.

Selain usul itu, turut dikemukakan usul oleh Senator Datuk Phoong Jin Zhe bertajuk ancaman e-dagang rentas sempadan harga ekstrem (Pinduoduo/Temu) terhadap ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peruncitan negara.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA