SEREMBAN, 3 Ogos (Bernama) -- Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke disifatkan sebagai individu paling layak untuk terus menerajui DAP negeri, dan prestasinya tidak wajar diukur berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu lepas.
Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan Nicole Tan berkata kekalahan parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Repah perlu dilihat dalam konteks landskap politik semasa yang menyaksikan penyatuan sokongan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
“Adalah tidak adil untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai ukuran kepimpinan Loke gagal. Kekalahan berlaku bukan berpunca daripada kelemahan seorang pemimpin semata-mata sebaliknya dipengaruhi faktor politik yang lebih besar dan di luar kawalan mana-mana individu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata di bawah kepimpinan Setiausaha Agung DAP itu, parti berkenaan telah berkembang menjadi sebuah organisasi yang kukuh, bersatu dan berdisiplin selain berjaya melahirkan barisan pemimpin baharu serta meningkatkan keupayaan jentera parti di seluruh negeri.
Tan berkata rekod kepimpinan Ahli Parlimen Seremban itu juga membuktikan komitmennya terhadap tadbir urus yang baik, kestabilan politik dan khidmat berterusan kepada rakyat.
“Seorang pemimpin tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan satu keputusan pilihan raya... dalam politik, kemenangan dan kekalahan adalah lumrah namun keupayaan memimpin parti menghadapi cabaran adalah ukuran sebenar kepimpinan,” katanya.
Tan berkata beliau menghormati apa jua keputusan yang akan dibuat Menteri Pengangkutan itu berhubung kedudukannya sebagai Pengerusi DAP negeri namun berpandangan pengalaman dan kewibawaan Loke amat diperlukan untuk terus menerajui parti di Negeri Sembilan.
Beliau turut menyeru seluruh anggota DAP Negeri Sembilan supaya terus bersatu dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan parti serta menjadikan keputusan PRN baru-baru ini sebagai pemangkin untuk memperkukuh keyakinan rakyat pada masa depan.
Sebelum ini, Loke berkata beliau sedia menimbangkan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan prestasi parti itu dalam PRN pada Sabtu lepas.
Kerajaan baharu negeri itu dibentuk menerusi kerjasama BN dan PN apabila masing-masing memenangi 18 dan tujuh kerusi pada PRN Negeri Sembilan manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, yang menyaksikan Loke gagal mempertahankan DUN Chennah disandangnya sejak tiga penggal lepas.
-- BERNAMA