Am 03/08/2026 07:59 PM

KPJ Healthcare Lancar Pusat Kecemerlangan Ortopedik Dan Reumatologi Pertama Di KPJ Penang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPJ Healthcare Lancar Pusat Kecemerlangan Ortopedik Dan Reumatologi Pertama Di KPJ Penang
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim (dua, kiri) memotong riben sebagai simbolik perasmian Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi Pertama di bawah KPJ Health System di Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM, 3 Ogos (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd hari ini melancarkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi pertama di KPJ Penang Specialist Hospital (KPJ Penang), sekali gus menjadi pusat kecemerlangan ketiga di bawah KPJ Health System (KPJHS).

Pengerusi Majlis Tadbir Urus Sistem Kesihatan KPJ dan Pengerusi KPJ Healthcare University Sdn Bhd Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata pusat kecemerlangan itu ditubuhkan bagi menyokong pengurusan kes yang kompleks dan menghimpunkan pelbagai subkepakaran ortopedik, reumatologi kepakaran multidisiplin serta perkhidmatan rehabilitasi dalam satu model penjagaan yang terselaras.

Beliau yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) berkata pusat itu turut menempatkan perkhidmatan konsultasi, kemudahan pengimejan diagnostik, bilik rawatan dan perkhidmatan rehabilitasi ortopedik berteknologi tinggi di aras yang sama bagi menawarkan perjalanan rawatan yang lebih lancar kepada pesakit, bermula daripada diagnosis hingga ke fasa rehabilitasi dan pemulihan.

"Keseluruhan perjalanan klinikal pesakit ditempatkan di bawah satu bumbung dan pesakit dengan masalah ortopedik tidak perlu berpindah dari satu jabatan ke jabatan lain sebaliknya jabatan yang bergerak mengelilingi pesakit,” katanya semasa berucap merasmikan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi Pertama di KPJ Penang,  di sini, hari ini.

Beliau berkata aspirasi kumpulan itu adalah untuk menjadikan setiap pusat kecemerlangan di bawah KPJHS berkembang dengan memperkukuh keupayaan klinikal, akademik dan penyelidikan hingga diangkat menjadi sebuah institut yang menjadi rujukan dalam bidang kepakaran.

Syed Mohamed berkata antara perkhidmatan komprehensif yang disediakan ialah ortopedik am, pembedahan tulang belakang, artroplasti (pembedahan penggantian sendi), artroskopi dan pembedahan sukan. 

"Kita juga mahu pusat kecemerlangan ini menerajui penerbitan penyelidikan berimpak tinggi, melahirkan pemimpin dalam bidang klinikal dan akademik di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, selain menjadi rakan strategik pilihan kepada industri, institusi akademik dan kerajaan," katanya.

Sementara itu, KPJ Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan pusat itu turut dilengkapi dengan teknologi robotik berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi pembedahan penggantian sendi, sistem navigasi komputer serta teknik pembedahan invasif minimum yang membantu meningkatkan ketepatan pembedahan, memperbaiki mobiliti pesakit serta mempercepatkan pemulihan fungsi.

Menurut kenyataan itu bagi melengkapkan perkhidmatan yang ditawarkan, pusat tersebut turut menyediakan program rehabilitasi khusus yang disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit. 

"Penubuhan pusat kecemerlangan itu merupakan kesinambungan kepada pembangunan rangkaian Pusat Kecemerlangan KPJ Healthcare, selepas penubuhan Pusat Kecemerlangan Jantung & Paru-paru di Johor Specialist Hospital serta Pusat Kecemerlangan Neurosains & Strok di Damansara Specialist Hospital 2. 

 “Ini selaras dengan strategi jangka panjang KPJ Healthcare untuk mewujudkan 15 Pusat Kecemerlangan di seluruh negara menjelang 2030 di bawah KPJHS,” maklum kenyataan itu.

Menurut KPJ Healthcare pusat ini membolehkan perkongsian kepakaran, penyeragaman piawaian klinikal, penyelarasan penyelidikan serta kolaborasi multidisiplin merentasi KPJHS melalui model hab bersepadu yang diterajui oleh KPJ Penang bersama KPJ Selangor Specialist Hospital.

Ini sekali gus memperlihatkan bagaimana perkhidmatan penjagaan khusus dapat disampaikan melalui satu sistem kesihatan akademik bersepadu, maklum kenyataan itu.

-- BERNAMA