Dunia 30/07/2026 11:00 PM

Sultan Nazrin, PM Singapura Bincang Inisiatif Dua Hala, Kerjasama ASEAN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sultan Nazrin, PM Singapura Bincang Inisiatif Dua Hala, Kerjasama ASEAN
--kredit FB Lawrence Wong

SINGAPURA, 30 Julai (Bernama) -- Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Pagi yang dihoskan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong  di Istana, di sini pada Khamis, sekali gus menyerlahkan hubungan kukuh yang telah terjalin sejak sekian lama antara Singapura dan Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook, Wong berkata beliau dan Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak membincangkan pelbagai isu, termasuk usaha memperkukuh kerjasama ASEAN, selain bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif berpotensi yang sedang dimajukan bersama oleh Singapura dan Malaysia.

"Selain kedudukan geografi, Singapura dan Malaysia dihubungkan oleh sejarah bersama serta hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara.

"Saya yakin kita akan terus bekerjasama rapat dalam membina visi bersama bagi masa depan yang akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," kata Wong.

Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Malaya (UM), berangkat tiba di Singapura bagi menghadiri Kejohanan Golf Tunku Canselor ke-55 antara UM-Universiti Nasional Singapura (NUS)  yang berlangsung dari 29 hingga 30 Julai 2026.

-- BERNAMA