Politik 31/07/2026 12:21 AM

Isu Tadbir Urus, Integriti Iktibar Utama Pilih Pemimpin - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Isu Tadbir Urus, Integriti Iktibar Utama Pilih Pemimpin - Fahmi
Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) berucap ketika membantu calon PH Mohd Hanis Alimin berkempen pada Program Ceramah Grand Finale DUN Senaling di Warung Mee Bandung US hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA PILAH, 30 Julai (Bernama) -- Isu tadbir urus dan integriti perlu dijadikan iktibar utama oleh pengundi dalam memilih barisan kepimpinan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 demi memastikan institusi penting negara tidak terus terancam oleh amalan penyelewengan.

Mengambil contoh pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata isu itu perlu dijadikan iktibar ekoran kesan buruk akibat kelemahan pengurusan serta salah guna kuasa.

Beliau berkata walaupun laporan rasmi RCI yang dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong tidak menggunakan bahasa pasar seperti “sakau”, dokumen berkenaan dengan jelas mendedahkan amalan rasuah dan penyelewengan yang berlaku.

"Memanglah dalam laporan RCI yang dibentangkan kepada Tuanku tidak ditulis perkataan 'sakau' kerana ia laporan rasmi, tetapi secara tegas ia mendedahkan berlakunya amalan rasuah.

"Dapatan Suruhanjaya melalui proses siasatan ini telah pun dimajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut," katanya ketika berucap pada ceramah kelompok PH sempena kempen PRN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling di sini malam ini.

Turut hadir, calon PH bagi DUN Senaling Mohd Hanis Alimin yang akan dicabar Mohamad Qayyum Abd Jalil (Barisan Nasional) dan Mohd Izaffi Istear Khan (Bersatu).

Mengenai pendedahan laporan berkenaan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata penangguhan pengumumannya sebelum ini dibuat bagi memberi ruang kepada usaha penstrukturan dan pemulihan semula kedudukan kewangan TH.

Langkah itu, katanya amat kritikal bagi mengelakkan timbulnya panik atau hakisan keyakinan dalam kalangan pendeposit yang boleh memicu pengeluaran simpanan secara berskala besar.

Justeru, beliau mengingatkan pengundi di Negeri Sembilan agar lebih berhati-hati dalam membuat pilihan demi masa depan negara dan generasi akan datang.

"Salah pilih pemimpin, (akan) rosak harta, negeri dan negara. Pilihlah calon yang ikhlas bekerja dan berintegriti untuk mewakili rakyat," katanya.

Pada Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA