KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Reformasi Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memastikan institusi itu bebas daripada sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan keputusan yang dibuat demi kepentingan pendeposit.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata pembaharuan tadbir urus perlu memberi penekanan kepada pengukuhan mekanisme semak dan imbang, peningkatan akauntabiliti, pelantikan kepimpinan yang berasaskan merit, profesionalisme dan integriti.
Beliau menyifatkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga TH serta kesediaan kerajaan mendedahkan dapatan itu kepada umum sebagai manifestasi komitmen terhadap ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam mengurus sebuah institusi yang memegang amanah jutaan pendeposit Islam di negara ini.
“Dapatan RCI ini tidak boleh berakhir sebagai laporan semata-mata. Sebarang syor yang berkaitan dengan pelanggaran undang-undang hendaklah disusuli dengan siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa mengikut lunas perundangan serta berdasarkan bukti yang mencukupi.
“Tiada mana-mana pihak wajar diberikan layanan istimewa apabila melibatkan amanah dan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menggesa agar semua syor reformasi yang dikemukakan oleh RCI dilaksanakan secara berperingkat dan dipantau secara berterusan.
Ahmad Fahmi berkata reformasi itu bukan hanya bertujuan memperbetulkan kelemahan lalu, sebaliknya membina sebuah inistitusi (TH) yang lebih berdaya tahan, diyakini dan mampu memenuhi amanah umat Islam pada masa hadapan.
“Pada masa yang sama, ABIM menyeru masyarakat agar menilai dapatan RCI secara objektif dan berasaskan fakta. Isu ini tidak wajar dipolitikkan atau dijadikan bahan polemik yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap TH.
“Matlamat utama semua pihak seharusnya ialah mempertahankan sebuah institusi strategik umat Islam melalui reformasi yang menyeluruh, akauntabiliti yang tegas dan tadbir urus yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata ABIM turut merakamkan penghargaan terhadap usaha Kerajaan MADANI yang melaksanakan langkah pemulihan TH termasuk usaha menstabilkan kedudukan kewangan, memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan pendeposit secara berperingkat.
Laporan RCI mengenai TH dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam antara lain turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik selain mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
-- BERNAMA