Am 30/07/2026 11:45 PM

Glasgow 2026: Siti Aqilah Wanita Pertama Malaysia Raih Perak Angkat Berat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Glasgow 2026: Siti Aqilah Wanita Pertama Malaysia Raih Perak Angkat Berat
Aksi atlet angkat berat wanita negara Siti Aqilah Farhan Draman dalam kategori 86 kilogram ke atas wanita pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo hari ini. Aqilah merangkul pingat perak dengan angkatan keseluruhan 253 kilogram. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

GLASGOW, 30 Julai (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Siti Aqilah Farhana Draman melakar sejarah menjadi wanita Malaysia pertama meraih pingat perak dalam acara itu pada penampilan pertamanya pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini hari ini.

Siti Aqilah meraih pencapaian itu selepas menduduki tempat kedua dalam kategori +86 kilogram (kg) pada aksi final yang berlangsung di Scottish Event Campus Armadillo.

Atlet berusia 20 tahun itu mencipta sensasi selepas mengumpul angkatan keseluruhan 253kg menerusi 113kg dalam acara snatch dan 140kg bagi clean and jerk.

Pingat emas menjadi milik Emily Campbell dari England yang mencatat angkatan keseluruhan 278kg, sekali gus memperbaharui rekod temasya manakala atlet Kanada Etta Mae Love meraih gangsa (250kg).

Kejayaan Siti Aqilah menjadi pencapaian terbaik atlet angkat berat wanita Malaysia dalam sejarah temasya sukan empat tahun sekali itu selepas Raihan Yusoff merangkul gangsa dalam kategori 53kg pada edisi Delhi 2010 dan Irene Jane Henry meraih gangsa bagi kategori 48kg di Glasgow 2026.

Acara angkat berat kategori wanita mula dipertandingkan pada Sukan Komanwel Manchester 2002.

-- BERNAMA