Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 30 Julai (Bernama) -- Tanpa meletakkan sasaran tinggi dan hanya memberikan tumpuan kepada setiap angkatan, atlet angkat berat negara Siti Aqilah Farhana Draman mencipta kejutan apabila meraih pingat perak dalam kategori +86 kilogram (kg) wanita pada penampilan pertamanya pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Siti Aqilah, 20, mengakui tidak pernah menjangkakan mampu menduduki tempat kedua pada temasya Sukan Komanwel, terutamanya selepas beliau tidak diletakkan sebagai pencabar utama yang diramal untuk menaiki podium.
“Saya memang tidak menjangkakan akan menang kerana rasanya tiada sasaran diletakkan kepada saya. Kalau ada pun, mungkin sekadar gangsa tetapi saya tidak sangka dapat memenangi perak.
“Beza dengan emas pun tidak terlalu jauh. Mungkin empat tahun akan datang saya boleh meraih emas, insya-Allah,” kata anak jati Kuala Nerus, Terengganu itu kepada Bernama selepas beraksi di Scottish Event Campus Armadillo di sini hari ini.
Siti Aqilah yang menyertai kem kebangsaan sejak dua tahun lepas, melakar sejarah sebagai atlet angkat berat wanita pertama Malaysia memenangi pingat perak pada Sukan Komanwel selepas mengumpul angkatan keseluruhan 253kg menerusi 113kg dalam acara snatch dan 140kg bagi clean and jerk.
Catatan itu menyaksikan anak bongsu daripada lima beradik itu memperbaharui rekod peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan.
Pingat emas dimenangi wakil England Emily Campbell yang memperbaharui rekod temasya dengan angkatan keseluruhan 278kg manakala atlet Kanada Etta Mae Love meraih gangsa dengan 250kg.
Siti Aqilah ketika mengulas mengenai pendekatannya sepanjang pertandingan itu berkata beliau tidak terlalu memikirkan kedudukan atau kemampuan pencabar, sebaliknya menganggap aksi di Glasgow seperti sesi latihan biasa.
“Saya tidak fikir panjang. Saya hanya mahu melakukan yang terbaik kerana jurulatih selalu berpesan, kalau kita buat yang terbaik, mungkin ada rezeki untuk mendapat pingat. Saya fikir seperti sedang menjalani latihan sahaja. Saya tidak fokus kepada sesiapa, saya cuma fokus kepada besi,” katanya.
Siti Aqilah berkata beliau menyedari bahawa pencapaian terbaik atlet angkat berat wanita negara sebelum ini hanyalah pingat gangsa yang diraih 16 tahun lepas.
Kejayaannya itu mengatasi pencapaian Raihan Yusoff yang meraih gangsa dalam kategori 53kg pada edisi New Delhi 2010 serta rakan sepasukan Irene Jane Henry yang memenangi gangsa dalam kategori 48kg di Glasgow.
“Saya sangat bangga dan gembira kerana dapat memenangi pingat perak serta mencipta sejarah untuk negara,” katanya, sambil mengakui mengidolakan rakan sepasukan yang juga seniornya Muhammad Erry Hidayat yang turut memenangi emas dalam kategori 79kg lelaki pada edisi kali ini.
Siti Aqilah mendedikasikan pingat berkenaan kepada ibu bapanya di kampung, barisan jurulatih di Terengganu serta Majlis Sukan Negara yang banyak membantu beliau membuat persiapan.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada atlet muda supaya terus memberikan komitmen penuh dalam latihan sekiranya mahu melangkah ke peringkat tertinggi.
“Berlatihlah bersungguh-sungguh untuk sampai ke tahap ini. Mungkin selepas ini akan ada rezeki untuk atlet lain pula. Selepas ini, sasaran saya adalah untuk memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel empat tahun akan datang,” katanya.
-- BERNAMA