Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 30 Julai (Bernama) -- Malaysia menutup tirai saingan dalam acara angkat berat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan bergaya menerusi pingat perak bersejarah Siti Aqilah Farhana Draman, sebelum giliran skuad berbasikal trek mengambil alih tumpuan kontinjen negara esok.
Siti Aqilah mencipta kejutan pada penampilan pertamanya apabila merangkul pingat perak dalam kategori +86 kilogram (kg) wanita, sekali gus melengkapkan kempen cemerlang skuad angkat berat negara.
Atlet kelahiran Terengganu berusia 20 tahun itu muncul wanita Malaysia pertama memenangi pingat perak pada Sukan Komanwel sejak kategori wanita mula dipertandingkan pada edisi Manchester 2002.
Pingat perak Siti Aqilah menyaksikan skuad angkat berat mengakhiri saingan sebagai penyumbang utama kontinjen dengan keseluruhan lima emas, satu perak dan satu gangsa.
Empat emas terdahulu disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60kg lelaki, Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), sebelum Muhamad Syahmi Nor Ghazali melengkapkan koleksi emas kelima menerusi kategori 94kg lelaki semalam.
Pingat gangsa pula diraih Irene Jane Henry dalam kategori 48kg wanita.
Dalam acara boling padang, pemain nombor satu dunia Emma Firyana Saroji meneruskan rentak sempurna selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan.
Pasangan lelaki negara turut mengekalkan rekod bersih dengan mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, sekali gus memperkukuh peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.
Sementara itu, dua pasangan berbasikal trek para negara Nur Suraiya Muhamad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan serta Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nurul Suhada Zainal menamatkan saingan kelayakan acara Pecut Tandem B Wanita masing-masing di tempat kelima dan keenam.
Selepas berakhirnya kempen angkat berat, tumpuan kontinjen negara kini beralih ke Sir Chris Hoy Velodrome apabila skuad berbasikal trek memulakan cabaran esok menerusi acara pecut wanita dan keirin lelaki.
Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dijadualkan turun beraksi dalam saringan tiga acara keirin sementara rakan sepasukan yang juga pemenang pingat gangsa edisi Birmingham 2022 Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam saringan empat.
Dua pelumba wanita Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid pula akan memulakan kempen masing-masing dalam acara pecut wanita.
Sementara itu, dengan saingan berbaki tiga hari, juara bertahan Australia terus kukuh di puncak carta pingat selepas mengumpul 51 emas, 24 perak dan 35 gangsa, diikuti England di kedudukan kedua (15, 30, 20) dan Kanada di tempat ketiga (15, 13, 17).
Malaysia yang telah melepasi sasaran lima emas, kini mengumpul enam emas, tiga perak dan tiga gangsa di kedudukan ketujuh.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadualkan menutup tirainya pada Ahad ini.
-- BERNAMA