KUALA PILAH, 30 Julai (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meluangkan masa menyantuni warga emas terlantar dan keluarga asnaf sekitar Tanjung Ipoh, di sini.
Beliau yang hadir bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Kamarul Arifin Wafa, turut menziarahi Hasnah Mat Sil, 94, yang terlantar akibat sakit tua sejak tiga tahun lepas.
Dr Wan Azizah kemudian mengunjungi Faridah Salleh, 80, yang terlantar akibat masalah tulang, selain bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan.
Seorang penduduk, Azidah Aziz, 69, meluahkan rasa teruja kerana berpeluang bertemu secara bersemuka dengan Wan Azizah, yang sebelum ini hanya dilihatnya menerusi kaca televisyen.
"Ini kali pertama pemimpin besar datang ke rumah, rasa macam mimpi. Alhamdulillah, beliau sangat baik dan prihatin," katanya kepada Bernama.
Program Ziarah Kasih itu turut mendapat sokongan pasukan perubatan PH yang menjalankan pemeriksaan kesihatan asas terhadap warga emas yang disantuni.
Wan Azizah sebelum itu meneruskan siri kempen di Seremban bagi membantu calon PH DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan siri berkenaan dimulakan dengan sesi Ziarah Kasih ke empat kediaman di Desa Kiara bagi menyantuni penduduk yang berdepan masalah kesihatan, selain memberikan kata-kata semangat kepada ahli keluarga mereka.
Program itu kemudiannya disusuli sesi minum petang bersama jentera, penyokong PH dan penduduk setempat bagi bertukar pandangan serta memperkukuh gerak kerja jentera pilihan raya.
Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA