Am 30/07/2026 06:01 PM

Malaysia, Jepun Ganding Bahu Tawar Pendidikan Pascasiswazah Pelajar Palestin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia, Jepun Ganding Bahu Tawar Pendidikan Pascasiswazah Pelajar Palestin
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim (duduk dua, kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Perwakilan, Pejabat JICA Malaysia Daisuke Ueda (duduk dua, kiri) pada Perkongsian Strategik Malaysia–Jepun Membina Palestin yang Berdaya Tahan Inisiatif Bersama bagi Infrastruktur Mampan Pembangunan Kapasiti dan Ketahanan Kemanusiaan hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Prof Dr Zainal Amin Ayub dan Presiden Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) Prof Dr Akihiko Tanaka.

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Japan International Cooperation Agency (JICA) hari ini menandatangani perjanjian untuk menyediakan pendidikan pascasiswazah dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi kepada pelajar Palestin, menerusi inisiatif selama enam tahun bermula Okt 2026.

Program yang akan berlangsung hingga April 2032 itu akan menyokong sebanyak 15 hingga 20 pelajar Palestin.

JICA akan menawarkan biasiswa, manakala UTM dan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) akan menyediakan penyeliaan penyelidikan, akses makmal serta sokongan akademik.

Inisiatif itu dibangunkan berasaskan Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD) anjuran Jepun, sekali gus memperkukuh komitmen bersama Malaysia dan Jepun terhadap pemulihan jangka panjang Palestin.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Profesor Dr Zainal Amin Ayub menyempurnakan majlis menandatangani perjanjian itu bagi mewakili Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Turut hadir Presiden JICA Dr Akihiko Tanaka, Duta Palestin ke Malaysia Jehad Fouad Alqdra, Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki dan Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Dalam ucapannya, Mohd Shafry berkata universiti bukan sekadar tempat ilmu pengetahuan dicipta, tetapi juga berperanan sebagai ruang untuk memanfaatkan ilmu bagi memenuhi keperluan masyarakat.

“Ilmu yang dibangunkan menerusi penyelidikan boleh menyokong pembangunan infrastruktur yang lebih baik, komuniti yang lebih selamat, penambahbaikan sistem tenaga dan air, pengukuhan perkhidmatan awam, serta pembangunan yang lebih mampan.

“Bagaimanapun, pengetahuan teknikal semata-mata tidak memadai. Ia perlu digabungkan dengan kepimpinan, nilai murni, kerjasama serta pemahaman jelas terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada komuniti,” katanya.

Sementara itu, Presiden JICA Dr Akihiko Tanaka menyifatkan perjanjian berkenaan bukan sekadar program biasiswa, sebaliknya pelaburan terhadap masa depan Palestin serta generasi jurutera, penyelidik dan pemimpin akan datang.

Beliau berkata pembangunan modal insan berkemahiran sama penting dengan pembinaan semula infrastruktur fizikal ketika Palestin menuju ke arah pemulihan, khususnya susulan gangguan terhadap sektor pendidikan di Gaza.

Program itu turut menampilkan sesi dialog kepimpinan yang menumpukan kepada peranan sarjana Palestin sebagai pemimpin masa hadapan dalam membangunkan semula komuniti mereka serta memajukan pembangunan mampan.

-- BERNAMA