23/07/2026 12:26 AM

Tang Jie-Clarissa Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka China

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Beregu campuran muda negara Chen Tang Jie-Clarissa Tan melepasi halangan pertama selepas menewaskan pasangan Jerman Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka China 2026 hari ini. 

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik itu, pasangan yang baharu digandingkan pada minggu lepas berkenaan mengambil masa 37 minit sahaja untuk menewaskan Seidel-Nguyen 21-17, 21-19. 

Keputusan itu turut menyaksikan Tang Jie-Clarissa membuat kemaraan pertama ke pusingan kedua sebaik digandingkan selepas gagal melepasi pusingan pertama pada Terbuka Jepun minggu lepas. 

Tang Jie-Clarissa dijangka berdepan cabaran getir apabila dijadualkan bertemu pasangan pilihan kedua kejohanan dari China Jiang Zhen Bang-Chen Fang Hui pada pusingan kedua. 

Sementara itu, beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut melangkah ke pusingan kedua selepas bangkit daripada kekalahan pada set pertama untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasangan Taiwan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh. 

Tewas 15-21 pada set pertama, Sze Fei-Nur Izzuddin kembali memperkemaskan permainan untuk memenangi set kedua 21-15 sebelum melengkapkan kebangkitan menerusi kemenangan 21-16 pada set penentuan.

Pasangan negara itu dijadualkan bertemu gandingan Denmark Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada pusingan kedua. 

-- BERNAMA