23/07/2026 12:12 AM

Kerajaan Perpaduan Kekal Stabil - PM Anwar

SEREMBAN, 22 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal stabil dan kukuh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi serta keyakinan pelabur tidak terjejas.

Beliau berkata kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat adalah baik dan diterjemahkan menerusi kelancaran mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan secara konsisten walaupun  bersaing di peringkat negeri.

“Di peringkat negeri mungkin ada isu tetapi di peringkat pusat belum lagi, dan mudah-mudahan insya-Allah, kekal selepas pilihan raya.

“Baru-baru ini, saya bermesyuarat Jemaah Menteri bersama-sama (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) Datuk Seri Mohamad Sabu, (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke, (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan lain seperti biasa... kita perlu jaga kestabilan ini supaya ekonomi negara jangan tergugat, dan pelabur terus datang,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Kekal Harapan di Senawang di sini malam ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, yang berlangsung 1 Ogos.

Turut hadir Mohamad, yang juga Presiden Amanah, serta Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Selangor merangkap Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Amirudin Shari, kepimpinan dan calon gabungan itu yang bertanding pada PRN berkenaan.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pentadbiran Negeri Sembilan, Anwar yang juga Pengerusi PH turut mengulangi pendirian untuk mengekalkan Aminuddin sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan tersebut diberi mandat semula oleh rakyat.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan, keikhlasan dan tadbir urus baik yang ditunjukkan sepanjang Aminuddin menerajui Negeri Sembilan.

“Saya tengok dari segi rekod prestasi, keikhlasan, akhlak dan peribadi, ini calon Menteri Besar kita yang terbaik.

“Negeri Sembilan ini dah elok, melaksanakan apa yang dikatakan... jadi, hentikan amalan ‘sakau’ dan jadikan negeri ini contoh pentadbiran yang baik,” kata beliau.

Pada PRN kali ini, PH bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan 16 calon daripada PKR, 11 mewakili DAP manakala Amanah, sembilan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala undi awal pada 28 Julai ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA