22/07/2026 11:46 PM

Trump Beri Amaran AS Akan Bom Jambatan, Loji Jana Kuasa Iran Jika Kapal Diserang

ISTANBUL, 22 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata Washington akan mengebom sebuah jambatan atau loji jana kuasa di Iran setiap kali Tehran menyerang sebuah kapal dagang di Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Bermula dari saat ini, setiap kali Republik Islam Iran melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal di Selat Hormuz, sama ada menggunakan peluru berpandu, roket, dron atau apa jua peranti atau senjata lain, AS akan mengebom dan memusnahkan SATU JAMBATAN ATAU LOJI JANA KUASA, termasuk yang terletak berhampiran atau di dalam ibu negara, Tehran," kata Trump menerusi platform Truth Social.

AS melancarkan beberapa siri serangan di seluruh Iran sejak minggu lepas manakala Tehran membalas dengan melancarkan serangan yang menyasarkan kemudahan dan pangkalan yang didakwanya digunakan oleh tentera AS di beberapa negara di rantau berkenaan.

Kedua-dua pihak saling berbalas serangan meskipun AS dan Iran menandatangani perjanjian rangka kerja yang diusahakan Pakistan pada Jun bagi menamatkan perang yang bermula pada Februari serta membuka laluan ke arah perjanjian damai yang berkekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU