JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini bukan sahaja menjadi medan penentuan mandat rakyat, malah turut mencetuskan limpahan ekonomi luar biasa kepada pengusaha kecil, daripada penyedia logistik maritim hingga ke peniaga gerai makanan.
Di MERSING, rata-rata pengusaha sibuk menguruskan logistik bagi membawa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pasukan keselamatan ke pulau berkenaan menjelang hari pengundian.
Pemilik Island Eagle Boat Services & Island Hopping Mustakim Shafie, 35, berkata selain pergerakan petugas SPR, kira-kira 50 pengundi juga menggunakan khidmat bot untuk pulang ke pulau berkenaan bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
“Semalam, operasi bot kami memfokuskan sepenuhnya kepada urusan logistik dan kegunaan petugas SPR manakala hari ini kami akan mula membawa masuk kumpulan pengundi pula.
“Alhamdulillah, dari segi pendapatan kadar tempahan kali ini menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding hari biasa,” katanya kepada Bernama.
Mustakim yang memiliki enam bot laju berkata pakej sewaan bot biasanya mencecah antara RM4,000 hingga RM4,500 bagi tiga hari dua malam manakala kadar sewaan kira-kira RM2,500 dikenakan bagi perjalanan sehala dengan kapasiti maksimum 18 penumpang.
Beliau berkata faktor cuaca dan keadaan angin laut yang tidak menentu menjadi cabaran utama dalam memastikan kelancaran operasi menghantar penumpang serta logistik semasa PRN ke-16 ini.
Bagi pemandu bot, Hasrul Azmin Jumaat, 39, pengalaman lebih 20 tahun mengendalikan bot di perairan itu membantunya memastikan perjalanan merentasi jarak 76 kilometer ke Pulau Aur yang memakan masa lebih dua jam berjalan selamat demi kelancaran proses demokrasi.
“Kami berharap agar hari ini keadaan cuaca baik dan semuanya sampai dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, di ISKANDAR PUTERI, kemeriahan PRN turut dirasai apabila peniaga makanan di sekitar pusat mengundi tidak menang tangan melayan serbuan pelanggan sejak awal pagi.
Bagi pasangan suami isteri, Ismail Mad Hasim, 55, dan Faradila Fairuz Mohd Affandi, 45, mereka menyifatkan hari pengundian ini sebagai “durian runtuh” apabila gerai mereka yang terletak bersebelahan dengan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera menjadi tumpuan pengundi.
Menurut Ismail, gerainya mula diserbu pelanggan seawal 8 pagi, terutama oleh pengundi yang hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab manakala putu piring, nasi lemak dan air kelapa menjadi antara juadah paling laris serta pilihan utama mereka untuk bersarapan.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, kami juga berniaga di sini dan sambutan putu piring kami ketika itu sangat menggalakkan. Oleh itu, kami buat lagi kali ini dan sambutannya juga luar biasa,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata mereka menyasarkan kira-kira 800 biji putu piring akan dijual sepanjang hari mengundi hari ini.
Kesibukan melayan pelanggan tidak menghalang pasangan itu untuk melunaskan amanah sebagai rakyat Malaysia, malah mereka merancang untuk mengundi di pusat pengundian yang sama sebaik sahaja jualan habis.
Proses pengundian yang melibatkan 2.6 juta pemilih berdaftar itu dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA