07/07/2026 08:53 PM

Program Pengakuan Khas Sukarela e-Invois Ditawar Kepada Tiga Kategori Pembayar Cukai

PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois yang berkuat kuasa hingga 31 Dis 2027 memberi peluang kepada pembayar cukai membuat semakan, pembetulan dan mengemas kini maklumat berkaitan pelaksanaan e-Invois secara sukarela tanpa dikenakan sebarang penalti.

Menurut kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini, program berkenaan ditawarkan kepada tiga kategori pembayar cukai iaitu mereka yang tidak mengemukakan e-Invois sepenuhnya bagi transaksi tertentu, mengemukakan e-Invois tetapi terdapat kesilapan atau syarat ditetapkan dan tidak mengemukakan e-Invois bagi mana-mana tempoh bermula daripada tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois.

Menurut kenyataan itu, pembayar cukai perlu memastikan pengakuan sukarela yang dibuat melalui pengemukaan e-Invois adalah betul dan teratur mengikut Garis Panduan Umum dan Garis Panduan Spesifik e-Invois.

"Inisiatif yang diperkenalkan ini memberi peluang kepada pembayar cukai untuk tampil secara sukarela dengan mengemas kini maklumat serta membuat semakan dan pembetulan terhadap keperluan pengeluaran e-Invois tanpa dikenakan sebarang penalti bagi menyokong aspirasi pendigitalan dalam operasi perniagaan," menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada pembayar cukai yang mematuhi sepenuhnya pelaksanaan e-Invois, kerajaan bersetuju untuk mempercepat pemberian insentif cukai dengan membenarkan tuntutan penuh elaun modal dalam tempoh setahun bagi perbelanjaan pemerolehan kelengkapan teknologi maklumat (ICT) serta kos pembangunan atau pengubahsuaian perisian komputer yang digunakan bagi tujuan pelaksanaan e-Invois.

Pembayar cukai boleh menghubungi LHDN bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat melalui pelbagai saluran khas e-Invois iaitu di semua pejabat LHDN seluruh negara, talian meja bantuan e-Invois  03-8682 8000, MyInvois Live Chat, e-mel  myinvois@hasil.gov.my serta borang maklum balas pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela e-Invois hingga 31 Dis 2027 sebagai ikhtiar tambahan bagi mengurangkan kos pematuhan perniagaan khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata berkata sepanjang tempoh ini, sebarang kemas kini, semakan dan pembetulan yang dikemukakan secara sukarela tidak akan dikenakan penalti oleh LHDN.

-- BERNAMA