El Nino: Kapasiti Sumber Air Selangor Mampu Bertahan Sehingga Sembilan Bulan
SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Kapasiti sumber air Selangor dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi Monsun Barat Daya dan fenomena El Nino yang dijangka berlarutan hingga September ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata kapasiti tujuh empangan di negeri itu melebihi 75 peratus setakat hari ini, dengan jangka hayat bekalan air dianggarkan antara tiga hingga enam bulan menerusi kawalan pelepasan mengikut keperluan loji rawatan air (LRA).
"Paras air empangan di Selangor dijangka kekal stabil dalam beberapa bulan akan datang melalui kawalan pelepasan air empangan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berdasarkan keperluan muka sauk LRA serta selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Musim Kering Negeri Selangor.
"Pelepasan air empangan dilaksanakan secara 'conjunctive' dengan operasi pengepaman air dari kolam sumber air alternatif mengikut kriteria yang ditetapkan bagi meningkatkan jangka hayat takungan empangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lebih 140 kolam sumber air alternatif dan beberapa bekas lombong di bawah Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) dikenal pasti mengikut lembangan sungai untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah.
Katanya pihaknya telah mengaktifkan pelan mitigasi strategik melalui pengawasan rapi LUAS bagi memastikan kestabilan bekalan air mentah di semua empangan utama negeri terus terjamin dalam mendepani risiko cuaca panas ekstrem ekoran kemuncak Monsun Barat Daya.
Dalam pada itu, Jamaliah berkata operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Selangor dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sekiranya kapasiti empangan menurun ke paras 50 peratus.
Selain itu, bagi menjamin keselamatan operasi LRA daripada sebarang insiden pencemaran, beliau berkata pemantauan kualiti air kini diperkasakan menerusi operasi rondaan 24 jam serta pensampelan secara berterusan di lembangan sungai utama.
Katanya LUAS juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan berisiko seperti kawasan perindustrian bagi memastikan tiada pelepasan efluen yang tidak mematuhi peraturan, khususnya ketika musim kering yang boleh meningkatkan kepekatan bahan pencemar dalam sumber air.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Manifesto PH Tawar Penyelesaian Holistik Tangani Kos Sara Hidup - Maszlee
- Kepakaran Wakaf Malaysia Jadi Rujukan Oman Dalam Pembangunan Aset Ummah
- MCE Lancar Hab Pembuatan Elektronik Automotif Bernilai RM50 Juta Di Serendah
- Bekas 'Crime Buster' Kongsi Pengalaman Banteras Jenayah Era 70-an
- Murid Tahun Lima Cedera Jatuh Tingkat Tiga Sekolah