07/07/2026 11:08 PM

Bekas 'Crime Buster' Kongsi Pengalaman Banteras Jenayah Era 70-an

SUNGAI BULOH, 7 Julai (Bernama) -- Nama ACP (B) B D Henry suatu ketika dahulu cukup digeruni kumpulan penjenayah terancang pada era 1970-an kerana ketegasannya membanteras pelbagai sindiket jenayah berat sehingga digelar Crime Buster.

Sepanjang 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor itu bukan sahaja mengetuai pelbagai operasi membanteras jenayah, malah turut berdepan ancaman komunis serta melalui detik hitam tragedi 13 Mei 1969 sebelum bersara pada 1986.

Mengimbau perjalanan kerjayanya, Henry, 94, berkata beliau menyertai pasukan polis pada 1951 ketika negara masih berada di bawah pentadbiran British dan menjalani latihan di bawah seliaan pegawai Inggeris.

Beliau berkata tugas sebagai anggota polis pada ketika itu menuntut tahap keberanian, disiplin dan kewaspadaan yang tinggi kerana penjenayah terancang dan anggota komunis sering menyasarkan anggota keselamatan.

“Pada masa itu, kita kena berjaga-jaga kerana komunis boleh menyerang polis pada bila-bila masa malah cabaran membanteras jenayah juga hebat apabila penjenayah mengetahui nombor pendaftaran kenderaan anggota polis, menyebabkan duduk di rumah pun kita sentiasa berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan kebajikan daripada Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Selangor di rumah kebajikan St. Mark’s Cozy Home, Kampung Baru Sungai Buloh, di sini.

Menurut Henry, beliau pernah bertugas dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) di Ipoh, Perak pada 1968 selama hampir lima tahun dan terlibat dalam operasi keselamatan yang mencabar di sempadan Malaysia-Thailand.

Berkongsi detik getir ketika bertugas di ibu negara semasa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, beliau berkata anggota polis diarahkan bertugas barhari-hari dan tidak sempat mandi bagi memastikan keselamatan awam dan keadaan kembali aman.

Sementara itu, Pengerusi RESPA Selangor Datuk Zakaria Yusof berkata lawatan ke atas Henry itu adalah bagi memberi sokongan moral kepada beliau yang baru kehilangan isteri bulan lepas.

Lawatan yang turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Dell Akbar Khan juga mencerminkan komitmen RESPA dalam menjaga kebajikan ahlinya.

-- BERNAMA