Bekalan Minyak Mentah Untuk Pengeluaran Perindustrian Masih Terkawal
KUALA LUMPUR, Julai 7 (Bernama) -- Bekalan minyak mentah untuk pengeluaran perindustrian termasuk resin, masih terkawal, bagaimanapun industri sedang melaksanakan penyesuaian dalam operasi bagi menghadapi peningkatan kos, menurut Kementerian Ekonomi.
Pemantauan terhadap perkembangan krisis bekalan global akan dilaksanakan dari masa ke masa untuk memastikan bekalan dan harga tidak menjejaskan operasi industri hiliran.
"Keseluruhan sektor pembuatan negara kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik dan pelaksanaan dasar kerajaan yang proaktif," jelasnya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai anggaran kerugian ekonomi dan penurunan kapasiti pengeluaran industri hiliran negara akibat gangguan bekalan bahan mentah plastik global sepanjang separuh pertama 2026 serta pelan mitigasi kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar yang tidak stabil.
Kementerian itu memaklumkan kerajaan mempunyai Pelan Mitigasi bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar yang tidak stabil.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensi berkaitan sedang melaksanakan inisiatif seperti mempelbagaikan sumber bekalan serta rakan dagang, memperkukuh ekosistem domestik dan rantaian nilai tempatan.
Usaha itu termasuk memacu inovasi dan penggunaan bahan alternatif serta pendigitalan dan pengurusan rantaian bekalan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bekalan Minyak Mentah Untuk Pengeluaran Perindustrian Masih Terkawal
- Kerajaan Pastikan Stok Petroleum Negara Cukup, Selamat Bagi Tempoh Julai-Disember 2026
- Anggota Tentera Maut Letupan Grenad Dinaikkan Pangkat Secara Anumerta
- Sesi Dialog Politik Diharap Jadi “Turning Point” Budaya Politik Matang - Maszlee
- PRN Johor: Manifesto PH Tawar Penyelesaian Holistik Tangani Kos Sara Hidup - Maszlee