08/07/2026 12:28 AM

Kerajaan Pastikan Stok Petroleum Negara Cukup, Selamat Bagi Tempoh Julai-Disember 2026

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan terus memastikan stok petroleum negara berada pada tahap yang selamat dan mencukupi bagi tempoh Julai hingga Disember 2026, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan setakat Jun 2026, bekalan minyak dan bahan api negara kekal dalam keadaan terkawal dan mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik, susulan tindakan proaktif kerajaan yang dilaksanakan secara berfasa sejak berlaku gangguan di Selat Hormuz mulai 28 Feb, 2026.

“Harga minyak mentah Brent yang mencecah paras tertinggi US$144.50 setong pada awal April 2026 telah menyusut kepada US$99.29 setong bagi tempoh 1 hingga 5 Jun 2026, mencerminkan sentimen pasaran yang semakin positif berikutan perkembangan rundingan damai.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak memandang ringan situasi ini memandangkan kekangan bekalan fizikal dan susutan inventori global masih wujud,” jelasnya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai status semasa keterjaminan bekalan minyak dan bahan api negara bagi tempoh Julai 2026 hingga Disember 2026, termasuk unjuran stok petroleum negara dan langkah mitigasi kerajaan susulan konflik geopolitik global.

Kementerian Ekonomi memaklumkan sepanjang tempoh krisis, kerajaan komited untuk memastikan bekalan asas mencukupi, harga kekal terkawal dan rakyat terlindung daripada kesan ketidaktentuan pasaran global.

Keterjaminan bekalan dijamin melalui gabungan tiga pendekatan utama iaitu kepelbagaian sumber import, pengoptimuman pengeluaran domestik melalui biodiesel, serta perjanjian bekalan jangka panjang yang telah dimeterai, tambahnya,

“Pendekatan pelbagai lapisan ini memberikan Malaysia fleksibiliti dan ketahanan yang tinggi,” menurut kementerian itu.

Kementerian menjelaskan kerajaan melaksanakan beberapa langkah mitigasi keterjaminan bekalan minyak iaitu mempelbagaikan sumber bekalan petroleum, mengoptimumkan bekalan bahan api domestik melalui biodiesel, kawalan ketirisan dan penguatkuasaan serta pemantauan berpandukan data.

-- BERNAMA