PRN Johor: Manifesto PH Tawar Penyelesaian Holistik Tangani Kos Sara Hidup - Maszlee
JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dirangka berdasarkan keperluan rakyat dan disertakan dengan mekanisme pemantauan bagi memastikan setiap tawaran dapat dilaksanakan.
Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik berkata manifesto itu bukan sekadar mengandungi janji pilihan raya, sebaliknya menawarkan komitmen yang realistik dan boleh dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan.
“Ini merupakan apa yang doable (dilaksanakan), tekad kami dengan kerjasama kerajaan pusat yang boleh dilakukan. Malah, antara komitmen kami ialah supaya adanya dashboard untuk rakyat mengikuti dan pantau,” katanya pada program Dialog PRN Johor yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani dan Sinar Harian.
Hadir sama pada program yang dikendalikan Sayed Munawar Sayed Mustar ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata antara tawaran utama manifesto itu ialah skim kesihatan negeri, bantuan rumah pertama untuk anak Johor, dana pembangunan belia, rumah mampu milik serta penambahbaikan sistem pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan semasa.
Beliau berkata semua tawaran itu dirangka selepas mendapatkan maklum balas daripada pelbagai kelompok masyarakat termasuk golongan pekerja dan belia, selain mengambil kira kemampuan kewangan serta kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Mengenai isu kos sara hidup, Maszlee berkata penyelesaiannya tidak boleh bergantung kepada bantuan sekali beri semata-mata, sebaliknya memerlukan dasar yang lebih menyeluruh bagi mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata usaha itu termasuk penyediaan rumah mampu milik, perlindungan kesihatan serta bantuan pengangkutan awam kepada kumpulan sasar.
Katanya kerajaan perlu terus mendengar pandangan rakyat dan menambah baik dasar dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Selain itu, Maszlee berkata hubungan yang kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan pelbagai agenda pembangunan serta manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggerakkan pelbagai usaha untuk merancakkan ekonomi Johor termasuk menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Kerusi DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Mazlee, Rashifa Aljunied daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Teow Chia Ling (Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan Wang Wee Siong (Bebas).
PRN Johor akan berlangsung Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N41: PUTERI WANGSA :128,723
1. Nicholas Paul Vincent (Bersama)
2. Wang Wee Siong (Bebas)
3. Dr Maszlee Malik (PH-PKR)
4. Rashifa Aljunied (MUDA)
5. Teow Chia Ling (BN-MCA)
(2022: Amira Aisya Abd Aziz: MUDA: Maj: 7,114)
Kata kunci
Berita terkini
- Bekalan Minyak Mentah Untuk Pengeluaran Perindustrian Masih Terkawal
- Kerajaan Pastikan Stok Petroleum Negara Cukup, Selamat Bagi Tempoh Julai-Disember 2026
- Anggota Tentera Maut Letupan Grenad Dinaikkan Pangkat Secara Anumerta
- Sesi Dialog Politik Diharap Jadi “Turning Point” Budaya Politik Matang - Maszlee
- PRN Johor: Manifesto PH Tawar Penyelesaian Holistik Tangani Kos Sara Hidup - Maszlee