Am 06/10/2026 09:03 PM

88 Kawasan Lapang Di KL Diwartakan Dalam Tempoh Sembilan Bulan - Hannah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
88 Kawasan Lapang Di KL Diwartakan Dalam Tempoh Sembilan Bulan - Hannah
Kredit: FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Sebanyak 88 lot kawasan lapang sekitar ibu negara diwartakan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan lapang yang dilindungi perundangan kini mencecah 582 lot melibatkan keluasan 476.17 hektar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata pewartaan terbaharu melibatkan 26 lot seluas 7.33 hektar bersamaan kira-kira 10 padang bola sepak itu sekali gus meningkatkan jumlah kawasan lapang yang diwartakan daripada 556 kepada 582 lot.

“Pewartaan ini memberikan perlindungan perundangan yang lebih jelas kepada kawasan lapang dan membantu memastikan ruang tersebut terus dipelihara untuk kepentingan awam.

“Kawasan lapang turut memainkan peranan penting dalam persekitaran bandar dengan membantu menyerap limpahan air hujan, mengurangkan kesan haba bandar dan menyediakan ruang rekreasi kepada komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata pewartaan 26 lot terbaharu itu melibatkan lapan kawasan Parlimen, iaitu Bandar Tun Razak (enam), Segambut (lima), Seputeh dan Cheras masing-masing empat, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Batu masing-masing dua serta Setiawangsa (satu).

Di Bandar Tun Razak, kawasan terlibat ialah Alam Damai, Taman Damai Jaya dan Taman Connaught manakala di Segambut meliputi Taman Segambut Indah, Taman Tun Dr Ismail, Taman Sri Hartamas, Taman Sri Kuching serta Taman Sri Bintang.

Bagi Seputeh, lot terlibat terletak di Taman LTAT, Taman Shanghai, Bandar Bukit Jalil dan Taman Esplanad manakala Cheras pula melibatkan Taman Midah, Taman Connaught serta Taman Bukit Ria.

Turut diwartakan ialah kawasan lapang di Taman Desa Melawati dan Taman Setapak (Wangsa Maju); Bukit Persekutuan/Jalan Travers (Lembah Pantai); Taman Kok Lian (Batu) serta Taman Keramat AU3 (Setiawangsa).

Hannah berkata orang ramai boleh menyemak senarai, status pewartaan dan lokasi kesemua 582 kawasan lapang berkenaan melalui pautan MyHijau di portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di www.ptgwp.gov.my.

Kemudahan itu membolehkan warga Kuala Lumpur dan persatuan penduduk mengetahui status kawasan lapang di kejiranan masing-masing, serta bersama-sama memantau dan memelihara ruang berkenaan.

-- BERNAMA