Am 06/10/2026 09:04 PM

Digital Perak-CSM Meterai MoU Perkasa Keselamatan Siber

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Digital Perak-CSM Meterai MoU Perkasa Keselamatan Siber
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi (empat dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak Corporation Holdings Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir (dua dari kiri) dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan CyberSecurity Malaysia Azman Ismail (lima dari kiri) pada Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik Digital Perak bersama CyberSecurity Malaysia dan Novus Transact (Malaysia) Sdn Bhd sempena Konvensyen Inovasi Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

IPOH, 6 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak menerusi Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan CyberSecurity Malaysia (CSM), bagi memperkasakan aspek keselamatan siber dan ketahanan data sebagai persediaan awal penubuhan Pusat Kawalan Utama Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata kerjasama strategik itu, bagi memastikan pusat kawalan dianggarkan bernilai lebih RM100 juta dan bakal beroperasi pada tahun depan itu, disokong sistem perlindungan data yang kukuh.

“Pengumpulan dan pengintegrasian pelbagai sumber data di pusat kawalan berkenaan kelak, menuntut tahap keselamatan siber yang tinggi, sekali gus memerlukan langkah persediaan dibina daripada peringkat awal. 

“Mengenai peranan kedua-dua pihak, Digital Perak bertindak sebagai penyelaras utama yang menguruskan operasi dan pengintegrasian data di pusat kawalan ini, manakala CyberSecurity Malaysia menyokong menerusi kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan khidmat nasihat keselamatan siber daripada peringkat awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan CyberSecurity Malaysia (CSM) Azman Ismail, bersempena dengan Konvensyen Inovasi Negeri Perak 2026, di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Mohd Azlan berkata kerjasama bersama dengan CSM itu juga, diunjurkan bernilai RM1.5 juta merangkumi pelbagai inisiatif kesedaran, latihan, pensijilan, penilaian dan pengukuhan kapasiti keselamatan siber.

Beliau berkata ia juga merupakan antara usaha memperkukuh ekosistem digital negeri, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030.

“Kerjasama selama dua tahun itu, turut meneroka keperluan Security Operations Centre as a Service (SOCaaS) serta pembangunan keupayaan keselamatan siber secara lebih tersusun, dengan sasaran melibatkan 1,000 hingga 1,500 peserta dan 15 hingga 25 organisasi di seluruh Perak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azlan berkata Kerajaan negeri dalam proses merangka satu garis panduan khusus, bagi mewajibkan setiap syarikat penyedia telekomunikasi memperketat tahap keselamatan peralatan dan infrastruktur mereka berikutan isu vandalisme yang berlaku di Perak.

Beliau berkata perincian mengenai garis panduan itu, akan dibincangkan secara terperinci menerusi Jawatankuasa Integriti dan Keselamatan Rangkaian Negeri Perak.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan susulan bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi memperhalusi pelaksanaan garis panduan berkenaan,” katanya sambil menegaskan tindakan tegas di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terus diperkasakan bagi memburu pelaku kegiatan sabotaj dan kecurian peralatan rangkaian.

Beliau berkata buat masa ini, sebanyak 310 kes kecurian kabel dan vandalisme direkodkan di Perak sehingga Jun lepas, dengan 125 dengannya telah dituduh di mahkamah manakala 67 kes lagi masih dalam tindakan kertas siasatan di bawah peruntukan akta sama.

-- BERNAMA