07/07/2026 11:07 PM

MCE Lancar Hab Pembuatan Elektronik Automotif Bernilai RM50 Juta Di Serendah

HULU SELANGOR, 7 Julai (Bernama) -- MCE Holdings Bhd (MCE) hari ini secara rasmi melancarkan MCE Auto Hub, kemudahan pembuatan termaju bernilai RM50 juta di Taman Pembuatan Bernilai Tinggi UMW, Serendah, yang akan memperkukuh keupayaan reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan kumpulan itu.

Dalam kenyataan pada Selasa, MCE menjelaskan MCE Auto Hub seluas 5.52 hektar itu merupakan fasa pertama bagi rancangan pelaburan jangka masa panjang sehingga mencecah RM200 juta dan akan menggandakan kapasiti pengeluaran, sekali gus memperkukuh keupayaan MCE dalam elektronik automotif dan penyelesaian mobiliti generasi akan datang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani merasmikan kemudahan itu hari ini.

Hadir sama Pengerusi MCE Tan Sri Abdul Rahman Mamat; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hanafi Sakri; Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Dr Aminar Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii Azrul Reza Aziz; Timbalan CEO (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Zuaida Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor Julaihah Jamaludin serta wakil daripada agensi kerajaan, rakan industri dan ekosistem automotif.

MCE menjelaskan selama lebih tiga dekad dalam industri ini, pihaknya telah berkembang menjadi pembekal elektronik automotif Tahap-1 Malaysia dengan keupayaan Pembuatan Peralatan Tulen (OEM) dan Pembuatan Reka Bentuk Tulen (ODM) sepenuhnya, menyokong pelanggan merentas reka bentuk, pembangunan dan pengeluaran.

Johari berkata “pelaburan itu menandakan langkah penting dalam pembangunan berterusan industri automotif Malaysia dan merupakan cerminan keyakinan terhadap MCE Holdings dan masa depan Malaysia.”

“Dalam industri yang sangat kompetitif, penting bagi pembekal tempatan untuk terus mencapai kecemerlangan pembuatan dengan memupuk kepakaran kejuruteraan, inovasi dan teknologi.” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata sejak kontrak pertama syarikat dengan membekalkan penggera jarak jauh dan sistem pengunci pusat untuk pasaran domestik pada 1990, MCE terus melabur dalam memperkukuh keupayaan.

“Selama bertahun-tahun, kami telah mengembangkan portfolio kami daripada komponen automotif tradisional kepada penyelesaian elektronik dan mekatronik automotif yang lebih canggih.

“Hari ini, kami menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat, membekalkan penyelesaian elektronik dan mekatronik automotif yang semakin sofistikated.

“MCE Auto Hub merupakan langkah seterusnya dalam usaha ini dan mencerminkan keyakinan kami bahawa keupayaan kejuruteraan, bakat dan pembuatan Malaysia dapat bersaing di pentas dunia,” katanya.

MCE menjelaskan MCE Auto Hub yang direka sebagai hab pembuatan sedia Industri 4.0 menggabungkan kawasan pengeluaran bilik bersih dan persekitaran pembuatan dikawal ketat yang diperlukan untuk elektronik automotif yang semakin maju bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV).

Menurut MCE, dengan operasi MCE Auto Hub, kumpulan itu kini menggaji tenaga kerja sebanyak 680, termasuk 90 jurutera, bagi operasinya di Johor Bahru, Pelabuhan Klang dan Serendah, mengukuhkan keupayaannya untuk menyokong portfolio program yang semakin berkembang pada seluruh segmen ICE dan EV.

“Hab itu juga mengukuhkan kedudukan MCE untuk menyokong usaha penyetempatan yang lebih besar dalam industri automotif, mewujudkan peluang untuk jurutera, syarikat teknologi dan pembekal Malaysia mengambil bahagian dalam reka bentuk, pembangunan dan pembuatan teknologi automotif termaju di Malaysia.

“Pelaburan ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh keupayaan pembuatan termaju Malaysia dan menggalakkan penyertaan yang lebih besar dalam aktiviti bernilai lebih tinggi dalam ekosistem automotif,” tambah MCE.

Goh berkata MCE percaya masa depan industri automotif Malaysia akan dibina melalui kerjasama yang lebih kukuh antara pembuat kenderaan, pembekal Tahap-1 dan peserta ekosistem tempatan, termasuk syarikat semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Melalui kerjasama, kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk teknologi yang dibangunkan oleh Malaysia disepadukan dengan aplikasi dan rantaian bekalan automotif, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk elektronik automotif,” katanya.

MCE Auto Hub akan berperanan sebagai hab pembuatan dan kejuruteraan utama MCE, memperkukuh keupayaan kumpulan untuk mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan penyelesaian elektronik dan mekatronik automotif bernilai tinggi untuk pelanggan di seluruh Malaysia, ASEAN dan pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA