07/07/2026 11:10 PM

Murid Tahun Lima Cedera Jatuh Tingkat Tiga Sekolah

ALOR SETAR, 7 Julai (Bernama) -- Seorang murid lelaki cedera selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di Padang Terap hari ini, dipercayai ketika cuba mengambil burung di atas siling bangunan sekolah berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Padang Terap Supt Mohd Anuar Junoh berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian menimpa murid tahun lima itu daripada seorang guru sekolah berkenaan kira-kira 4 petang.

"Ketika kejadian mangsa mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). 

“Mangsa yang cedera di beberapa bahagian badan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku sendiri dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan kejadian berlaku sebelum sesi KAFA pada sebelah petang. 

"Murid berkenaan pulang ke rumah dan datang semula untuk sesi KAFA. Sebelum kelas KAFA bermula, murid berkenaan memanjat siling seorang diri di tingkat sekolah itu. 

"Murid itu dipercayai mahu menangkap burung merpati di dalam siling melalui laluan pili bomba. Kenyataan lanjut mengenai kejadian ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat," menurut JPN Kedah dalam kenyataan.

-- BERNAMA