07/07/2026 09:23 PM

Presiden Uzbekistan Seru Perpaduan Global Berlandaskan Tamadun Islam

Daripada Zarul Effendi Razali

TASHKENT, 7 Julai (Bernama) -- Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev menggesa kerjasama global diperkukuh bagi memupuk keamanan, toleransi dan pencerahan menerusi sains, pendidikan serta warisan bersama tamadun Islam ketika dunia berdepan peningkatan konflik, ekstremisme dan Islamofobia.

Dalam ucapan pada Forum Tamadun Islam Antarabangsa Pertama, beliau berkata dunia sedang melalui perubahan besar dengan peningkatan konflik, ketidakpercayaan antara satu sama lain serta cubaan untuk memecahbelahkan budaya, agama dan tamadun.

"Dalam tempoh yang mencabar ini, nilai-nilai murni, termasuk nilai-nilai Islam, kekal menjadi asas yang berkekalan kepada keamanan, kemajuan masyarakat serta usaha mencapai keharmonian dan pencerahan.

"Sepanjang sejarah, nilai-nilai ini menjadi pemangkin penting kepada kemajuan sains, pembaharuan budaya dan pembangunan kerohanian, sekali gus memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada pemikiran dunia serta menjadi sebahagian daripada warisan bersama manusia," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penasihat Presiden dan Penulis Ucapan Presiden Khayriddin Sultanov.

Mirziyoyev berkata inisiatif Uzbekistan, "Pencerahan Menentang Kejahilan", yang diperkenalkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017, menekankan kepentingan sains, pendidikan, budaya dan nilai moral yang tinggi dalam memupuk keamanan, persefahaman, keharmonian masyarakat dan pembangunan mampan.

Beliau berkata negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu komited memelihara, mengkaji dan mempromosikan warisan tamadun Islam yang kaya menerusi penyelidikan, pendidikan, pemulihan tapak bersejarah serta kerjasama kemanusiaan antarabangsa yang lebih erat.

Mirziyoyev turut mengetengahkan sumbangan Asia Tengah kepada tamadun dunia dengan menyatakan bahawa rantau itu telah melahirkan tokoh ilmuwan terkemuka seperti Muhammad al-Khwarizmi, Abu Rayhan Biruni, Abu Ali ibn Sina, Mirzo Ulugh Beg, Imam al-Bukhari, Imam al-Tirmidhi dan Imam al-Maturidi, yang hasil karya mereka terus membentuk tradisi intelektual dunia.

Beliau berkata Uzbekistan sedang meletakkan asas kepada "Renaissance Ketiga" yang berteraskan sains, inovasi, pendidikan moden, pembangunan kerohanian dan penghormatan terhadap warisan sejarah, di samping membolehkan rakyat merealisasikan potensi kreatif mereka.

Menyifatkan Pusat Tamadun Islam sebagai jambatan intelektual yang menghubungkan masa lalu dengan masa depan serta Timur dengan Barat, Mirziyoyev berkata institusi itu telah menjadi platform terbuka kepada ilmuwan, penyelidik dan tokoh agama untuk memperkukuh kerjasama saintifik serta memelihara nilai-nilai sejagat.

Beliau berharap forum itu akan menjadi titik permulaan kepada fasa baharu kerjasama antarabangsa melibatkan kerajaan, universiti, muzium, perpustakaan, institut penyelidikan dan organisasi antarabangsa, termasuk menerusi penerimaan satu program tindakan bersama.

"Kami percaya bahawa sains dan pendidikan merupakan kuasa penyatuan paling besar pada zaman ini, yang menyediakan asas kukuh dan kreatif kepada keamanan serta pembangunan mampan. Kami menyeru semua peserta agar bekerjasama demi mencapai matlamat murni ini," katanya.

Forum lima hari bertemakan "The Path of Peace, Tolerance and Enlightenment" itu berlangsung di Tashkent, Samarkand dan Termez, menghimpunkan kira-kira 300 ilmuwan, pemimpin agama, pembuat dasar dan tokoh kebudayaan dari lebih 50 negara.

Dianjurkan oleh Pusat Tamadun Islam di Uzbekistan dengan kerjasama beberapa institusi kebangsaan serta Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO), forum itu bertujuan mengetengahkan sumbangan Islam kepada sains, kebudayaan dan kerohanian, di samping memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam usaha memelihara serta mempromosikan tamadun Islam.

Program forum merangkumi 11 sesi pleno, empat persidangan saintifik antarabangsa, pameran manuskrip nadir dan artifak kebudayaan, selain pembentangan mengenai projek warisan digital serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi memelihara manuskrip Islam.

Forum itu dijangka berakhir dengan penerimaan Deklarasi Tashkent, kelulusan pelan hala tuju pembangunan Pusat Tamadun Islam bagi tempoh 2027-2030 serta pemeteraian perjanjian kerjasama melibatkan organisasi antarabangsa, pusat penyelidikan dan institusi kebudayaan.

-- BERNAMA