07/07/2026 09:30 PM

Syarikat Konsultan, Pengarah Didakwa Gagal Bayar Cukai Perkhidmatan

CHUKAI, 7 Julai (Bernama) -- Sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan konsultan serta pekerjaan dan pengarahnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman di sini hari ini atas 14 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM48,249.44, tiga tahun lepas.

Syarikat Teraju MHA Group Sdn Bhd dan pengarahnya Mohammad Habibullah Awang, 43, yang masing-masing menghadapi tujuh pertuduhan mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu yang diwakili Mohammad Habibullah selaku Orang Kena Saman (OKS), gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM34,463.90 dan penalti bagi tempoh bercukai berjumlah RM13,785.54.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Stesen Kemaman Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jalan Kampung Tengah Kuala Kemaman antara 1 Mei 2023 hingga 31 Okt 2024.

Bagi kesalahan itu, syarikat tersebut didakwa mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pendakwaan terhadap pengarah syarikat juga dibuat mengikut seksyen yang sama.

Pegawai Pendakwa JKDM Mohmad Khazaiddi Mohd Nor memohon mahkamah mengenakan jaminan RM21,000 namun Mohammad Habibullah yang tidak diwakili peguam merayu jumlah yang rendah atas alasan kewangan selain menyara tiga anak serta menanggung pekerja.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 27 Ogos untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

-- BERNAMA