07/07/2026 10:04 PM

Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Menjelang Pengumuman Data MPOB

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur pada Selasa menjelang pengumuman data bulanan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada akhir minggu ini.

Editor Pengurusan dan Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM susut daripada paras tertinggi pada awalnya selepas didagangkan dalam julat intra harian yang lebih tinggi pada sesi tengah hari.

"Niaga hadapan minyak sawit pada awalnya meningkat sejajar dengan pengukuhan pasaran minyak sayuran.

“Namun, kenaikan itu susut menjelang pengumuman data penting MPOB pada 10 Julai apabila sentimen pasaran lebih berhati-hati selepas peniaga bertindak mengambil sedikit keuntungan dan mengurangkan pegangan bagi tempoh sementara ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada masa sama, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut menjejaskan tarikan minyak sawit Malaysia bagi pembeli luar negara, sekali gus memberi tekanan tambahan ke atas harga komoditi itu.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 4.0685/0735 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0825/0875, semalam.

Selain itu, pada akhir dagangan hari ini, kontrak Julai 2026 susut RM2 kepada RM4,483 satu tan, Ogos 2026 sebaliknya turun RM7 kepada RM4,516 manakala September 2026 berkurangan RM3 kepada RM4,547.

Kontrak Oktober 2026 menokok RM1 kepada RM4,573 satu tan, November 2026 naik RM7 kepada RM4,601 dan Disember 2026 meraih RM9 kepada RM4,625 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 77,606 lot daripada 59,610 lot semalam dan kepentingan terbuka meningkat kepada 289,701 kontrak daripada 288,418 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Selatan Julai turun RM15 kepada RM4,505 satu tan.

-- BERNAMA