07/07/2026 10:17 PM

PRN: Calon PH DUN Paloh Dirawat Di Hospital Akibat "Slipped Disc"

KLUANG, 7 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Dr A. Ruban telah dimasukkan ke sebuah hospital di Batu Pahat pada 1 tengah hari tadi susulan masalah slipped disc atau cakera teranjak yang dialaminya.

Pengurus kempen beliau, Abdul Majid Abd Aziz ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu, dan memaklumkan Dr Ruban terpaksa menerima rawatan setelah mengalami kesakitan sehingga menyukarkan pergerakannya sejak pagi tadi. 

Abdul Majid berkata Dr Ruban mempunyai sejarah masalah tulang belakang, dan pernah menjalani pembedahan sebelum ini, namun kesakitan itu kembali menyerang dipercayai akibat jadual kempen PRN yang terlalu padat.

"Beliau memang banyak berjalan lakukan walkabout di lapangan sepanjang tempoh pilihan raya ini. Mungkin kerana keletihan dan jadual yang ketat, keadaan kesihatan beliau terganggu, namun beliau kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, keadaan beliau dilaporkan tidak kritikal dan mungkin akan discharge (dibenarkan keluar hospital) dalam sehari dua ini,” katanya.

Mengulas mengenai kesinambungan kempen, Abdul Majid memberikan jaminan bahawa jentera PH DUN Paloh akan terus bergerak aktif menyantuni masyarakat di lapangan.

"Kami akan memastikan mesej dan manifesto Dr Ruban tetap sampai kepada pengundi walaupun beliau tidak dapat turun padang buat sementara waktu," katanya.

DUN Paloh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Ruban dengan calon Perikatan Nasional (PN) D. Jeevakumar, calon bebas G. Kamaleswaren dan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi DUN itu, Lee Ting Han.

PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal telah berlangsung hari ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.  

-- BERNAMA

 

N30 PALOH: 25,419 pengundi

 

1. G. Kamaleswaren (Bebas)

2. Dr A. Ruban (PH-DAP)

3. Lee Ting Han (BN-MCA)

4. D. Jeevakumar (PN-MIPP)

 

(2022: Lee Ting Han : BN-MCA: Majoriti: 3,176)