KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kesemua tahanan warganegara Myanmar yang terlibat dalam Program Penghantaran Pulang Fasa Pertama di Lumut, Perak pada 29 Sept lepas, telah melalui proses saringan rapi dan verifikasi sebelum dihantar pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan proses menyeluruh itu merangkumi pengenalpastian dan pengesahan kewarganegaraan, dokumentasi, pemeriksaan kesihatan serta semakan identiti.
Menurut KDN, senarai nama setiap individu berkenaan disahkan oleh kerajaan Myanmar dan dikemukakan kepada Malaysia menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lepas, sebelum disusuli dengan penyelarasan rapi dari aspek keselamatan, logistik serta urusan penerimaan di negara asal.
"Bagi fasa pertama program itu, proses akhir dilaksanakan di Stadium Daerah Manjung sebelum individu berkenaan dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut bagi proses penghantaran pulang.
"Kerajaan memastikan proses penghantaran dibuat secara selamat, teratur, bertanggungjawab dan bermaruah berdasarkan proses serta prosedur yang dipersetujui antara kedua-dua negara," menurut KDN dalam dokumen Soalan Lazim (FAQ) tentang program berkenaan.
KDN menjelaskan program berkenaan ialah sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk menangani migrasi tidak teratur dan pendatang tanpa izin menerusi penguatkuasaan undang-undang, pengurusan tahanan serta penghantaran pulang ke negara asal secara tersusun, selamat dan bertanggungjawab.
Langkah itu, menurut KDN, berupaya memendekkan tempoh penahanan yang tidak perlu, sekali gus melegakan tekanan terhadap kapasiti dan kos operasi Depot Tahanan Imigresen (DTI).
“Setakat 31 Ogos lepas, terdapat sebanyak 11,804 warganegara Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen dan Baitul Mahabbah di seluruh negara,” menurut KDN.
KDN memaklumkan jumlah tahanan yang tinggi dan tempoh penahanan yang panjang memberikan tekanan kepada kapasiti depot selain menyebabkan kerajaan menanggung perbelanjaan yang besar.
Sehubungan dengan itu, Program Penghantaran Pulang tersebut dirangka sebagai inisiatif kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Myanmar bagi melaksanakan penghantaran pulang tahanan warganegara itu yang berada di negara ini secara berperingkat.
Menerusi inisiatif tersebut, KDN memaklumkan kerajaan Myanmar telah menzahirkan komitmen untuk menerima kepulangan sebanyak 5,000 warganya sepanjang 2026.
Berhubung agensi pelaksana, penetapan hala tuju program diputuskan pada peringkat kerajaan dengan KDN bertindak sebagai penyelaras, manakala Jabatan Imigresen (JIM) sebagai agensi operasi utama.
Operasi berkenaan turut digembleng bersama-sama Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, TLDM serta agensi keselamatan berkaitan.
Pelaksanaan fasa pertama program berkenaan pada 29 Sept lepas menyaksikan 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang dengan menaiki tiga kapal milik Tentera Laut Myanmar termasuk sebuah kapal hospital.
Operasi itu membabitkan tahanan dari 14 DTI di seluruh negara dengan jumlah tertinggi dari Depot Belantik di Kedah dan Depot Tanah Merah di Kelantan.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini berkata sebanyak 3,524 tahanan Myanmar telah dipersetujui untuk dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa kedua program itu secara sukarela.
-- BERNAMA