Am 06/10/2026 10:20 AM

Tugasan Sekolah Bawa Imanuddin Hadeef Ke Dunia Wayang Kulit

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tugasan Sekolah Bawa Imanuddin Hadeef Ke Dunia Wayang Kulit
Gambar hiasan.

Wayang kulit adalah antara seni warisan yang kian malap, dan tidak mustahil jika suatu hari nanti persembahan teater bayang ini yang dahulunya begitu popular di pantai timur, utara dan selatan tanah air, akan tinggal sebagai catatan dalam dokumentasi sejarah negara.

Bahagian ketiga laporan bersiri empat artikel ini ini berkongsi naratif seorang penggiat cilik yang memberikan harapan untuk seni ini terus bertahan di masa akan datang.  

 

Ketika kanak-kanak sebaya mungkin menghabiskan masa luang bermain permainan video, Nik Imanuddin Hadeef Nik Izdiharuddin, 10, leka dengan patung-patung wayang kulit, melatih suara mengikut watak persis tok dalang.

Mempunyai minat yang mendalam terhadap seni tradisional itu, kanak-kanak ini juga belajar melukis dan mengukir patung wayang kulit selain turut memahiri alat muzik yang mengiringi persembahan berkenaan.

Kesemua itu dilakukan tanpa paksaan, sebaliknya tercetus daripada minat yang tumbuh hasil satu tugasan sekolah, kira-kira dua tahun lalu.

“Saya nak jadi doktor, tapi saya juga nak bermain wayang kulit sampai saya mati,” kata kanak-kanak itu ketika ditemui Bernama di kediamannya Kampung Kubang Sipot, di sini.

 

BERMULA DENGAN TUGASAN SAINS

Bakat dalam seni wayang kulit si cilik ini dicungkil secara tidak sengaja ketika dia di tahun dua, bermula dengan arahan guru subjek Sains yang memintanya dan rakan-rakan sekelas menyediakan objek yang boleh menghasilkan bayang sebagai sebahagian daripada pembelajaran.

Tiba di rumah, anak bongsu daripada dua beradik ini memaklumkan ibunya, Nur Hazween Mohd Hasni, 39, akan tugasan yang diberikan oleh guru itu.

Maju Johor
Kesungguhan mengikuti latihan akhirnya membuka peluang kepada Hadeef membuat persembahan sulung di Tok Bali bersama-sama dengan gurunya pada awal tahun lepas

“Dia balik rumah cakap cikgu minta objek yang boleh menimbulkan bayang. Jadi saya cadangkan kita buat wayang kulit untuk dapatkan bayang. Daripada situlah semuanya bermula,” kongsi Nur Hazween dengan Bernama.

Menurutnya, mereka menggunakan kadbod bagi menghasilkan patung wayang kulit “Dewa Panah” dan “Pohon Beringin” yang kemudian dibawa ke sekolah.

Tanpa diduga, pengalaman menghasilkan patung wayang kulit tersebut mencetuskan rasa ingin tahu si cilik yang mesra dipanggil Hadeef ini terhadap seni itu.

“Selepas saya hantar tugasan itu, balik rumah saya minta mak buat patung-patung lain, satu demi satu,” ujar Hadeef. 

Menyukai watak Pak Dogol dalam Hikayat Seri Rama, kanak-kanak ini menyifatkan watak itu sebagai paling hebat.

“Dia boleh lawan jin dan benda-benda besar lain,” katanya yang juga kian mahir menggerakkan patung watak itu di layar putih selain berkebolehan mengubah intonasi suara mengikut kesesuaian cerita. 

Pun begitu, dia mengakui aspek itu antara cabaran paling besar buatnya.

“Setiap watak ada suara tersendiri yang menjadi identitinya, dan tok dalang perlu pastikan penonton dapat membezakan setiap watak hanya melalui suara. Bagi saya, memang susah hendak tukar-tukar suara (dari satu watak ke satu watak lain),” jelasnya. 

Di sebalik cabaran itu, Hadeef tidak berputus asa. Lebih-lebih lagi dia kini dibimbing oleh penggiat wayang kulit Kelantan Kang Boon Ann yang lebih dikenali sebagai Che Ann, pengasas Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu.

 

JUMPA MELALUI TIKTOK 

Minat terhadap wayang kulit mendorong anak kecil ini melayari laman sosial, khususnya TikTok, bagi mengetahui lebih lanjut tentang seni berkenaan, yang seterusnya membawa dia ke laman Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu.

“Saya ‘scroll’ (menatal) TikTok dan terjumpa laman Che Ann. Sejak hari itu saya sentiasa mengikuti perkongsian Che Ann. Saya juga nak jumpa dia,” katanya yang dapat berjumpa secara bersemuka dengan Che Ann pada awal tahun lepas.

Maju Johor
Ketika kanak-kanak sebaya mungkin menghabiskan masa luang bermain permainan video, Nik Imanuddin Hadeef Nik Izdiharuddin, 10, leka dengan patung-patung wayang kulit, melatih suara mengikut watak persis tok dalang.

Pertemuan itu menjadi titik perubahan apabila Hadeef diterima mengikuti latihan bersama-sama dengan Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu.

Di bawah bimbingan Che Ann, dia belajar mengendalikan patung, bermain alat muzik wayang kulit dan asas menjadi seorang tok dalang.

 

DETIK PERTAMA DI PENTAS

Kesungguhan mengikuti latihan akhirnya membuka peluang kepada Hadeef membuat persembahan sulung di Tok Bali bersama-sama dengan gurunya pada awal tahun lepas. Pengalaman itu masih segar dalam ingatannya.

“Saya gembira sangat sebab pertama kali nak ‘show’ dekat orang,” katanya.

Maju Johor
Walaupun baru sekali membuat persembahan, pengalaman itu menjadi pembakar semangat untuk terus dia meningkatkan kemahirannya.

Berada di depan penonton memberikan pengalaman yang jauh berbeza berbanding latihan di rumah. Di pentas sebenar, dia belajar mengawal rasa gemuruh, memberi tumpuan kepada setiap gerakan watak serta memastikan persembahan berjalan lancar.

Walaupun baru sekali membuat persembahan, pengalaman itu menjadi pembakar semangat untuk terus dia meningkatkan kemahirannya.

 

DI MATA SEORANG IBU

Bagi Nur Hazween, pada mulanya beliau menganggap minat anaknya itu terhadap wayang kulit hanyalah satu daripada hobi kerana Hadeef mempunyai minat dalam pelbagai cabang seni sejak kecil, termasuk pandai bermain alat muzik seperti rekorder dan keyboard.

“Memang dia suka seni. Melukis dia minat, muzik pun dia minat. Tetapi bila tengok dia semakin mendalami wayang kulit, saya sedar minat dia lebih kepada seni tradisional,” katanya.

Menurut Nur Hazween, minat itu mungkin diwarisi kerana ayahnya Mohd Hasni Mat Hassan, 74, yang merupakan bekas pensyarah dalam bidang seni di Institut Pendidikan Guru.

“Saya dan adik-beradik pun suka melukis, jadi saya fikir bakat itu turun kepada Hadeef,” kongsi Nur Hazween yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Menurutnya, anak sulungnya iaitu Nik Ihsanuddin Hafeey, 12, hanya berminat melukis animasi dan tidak berminat pada wayang kulit.

Bercerita lanjut, beliau berkata Hadeef turut menunjukkan perubahan sikap yang ketara selepas aktif dalam seni wayang kulit.

“Anak saya ini seorang pemalu, tetapi kini dia lebih yakin. Interaksi dia dengan orang pun semakin baik, termasuk apabila membuat persembahan,” katanya, menambah keyakinan itu turut membantu anaknya menyertai pelbagai pertandingan di sekolah, termasuk pertandingan bercerita dan Da’i Cilik.

Walaupun bukan berkaitan wayang kulit, pengalaman tersebut banyak membentuk kemahiran komunikasi dan keberanian anaknya. Dalam masa sama, beliau memastikan anaknya itu tidak mengabaikan pelajaran dan hanya bermain wayang kulit ketika waktu luang.

Malah latihan dengan persatuan juga disusun mengikut jadual persekolahan Imanuddian Hadeef, kerana beliau berpendapat minat anaknya itu harus terus dipupuk agar dapat mempertahankan seni warisan tersebut. 

“Seni warisan ini jangan sampai lapuk ditelan zaman. Kita kena teruskan kepada generasi akan datang supaya mereka kenal dan tidak lupa,” katanya.

 

SOKONGAN SEORANG BAPA

Minat Hadeef terhadap wayang kulit secara tidak langsung turut memupuk minat bapanya Nik Izdiharuddin Abu Bakar, 39.

“Sebelum ini kami pun tak tahu sangat pasal wayang kulit. Bila dia minat, barulah kami mula ambil tahu dan belajar sama-sama,” katanya yang bekerja sebagai pemandu ambulans Klinik Kesihatan Lundang Paku.

Menurutnya, cabaran utama bukanlah kos atau masa, tetapi memastikan Hadeef mampu mengimbangi pelajaran dengan minatnya.

“Cabaran dia ialah nak bahagikan masa belajar dengan masa bermain wayang kulit,” katanya.

Beliau bersyukur kerana pihak sekolah turut memahami minat anaknya dan sentiasa mengingatkan supaya pelajaran tidak diabaikan.

“Budak-budak sekarang banyak habiskan masa dengan ‘gadget’ (peranti). Malah, mereka juga kurang mendapat pendedahan kepada permainan tradisional.

“Kalau sekolah boleh tunjuk dan perkenalkan permainan tradisional kepada budak-budak, sekurang-kurangnya mereka tahu warisan yang kita ada,” katanya.

Beliau juga tidak berhasrat untuk menghalang anaknya itu daripada bergiat dalam dunia wayang kulit apabila dewasa kelak.

“Kalau itu pilihan dia, kita sokonglah. Wayang kulit pun bukan benda yang tak elok," katanya yang berharap suatu hari nanti anaknya mampu membuat persembahan di lebih banyak tempat dan menjadi antara pelapis yang menghidupkan semula seni warisan itu.

 

HARAPAN DI TANGAN GENERASI BAHARU

Dalam dunia moden yang bergerak menerusi teknologi dan dipenuhi dengan hiburan digital,  Hadeef memilih jalan yang mungkin berbeza daripada kebanyakan kanak-kanak seusianya.

Suatu hari nanti dia mungkin bergelar doktor seperti yang diimpikannya, atau mungkin menjadi tok dalang yang disegani.

Namun, buat masa ini, anak kecil ini gigih mempelajari satu seni yang kian suram, sekali gus memberi harapan masih ada ruang untuk wayang kulit kembali gah di masa depan, sekiranya minat sama dipupuk dalam kalangan anak-anak seusianya.