KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Industri perbankan dan PayNet akan memperkenalkan keupayaan amaran penipuan meliputi seluruh industri, dengan ujian rintis melibatkan bank-bank terpilih disasarkan pada separuh pertama 2027.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata keupayaan amaran penipuan meliputi seluruh industri itu dapat memberi amaran kepada bank dan pelanggan mengenai potensi risiko sebelum transaksi selesai.
“Amaran ini akan menggesa pelanggan untuk berhenti seketika, berfikir dan membuat pengesahan sebelum meneruskan transaksi,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026 hari ini.
Abdul Rasheed berkata keupayaan ini mungkin menimbulkan gangguan kepada pelanggan dan mungkin juga terdapat aduan.
“Bagaimanapun, langkah ini adalah perlu untuk mencapai keseimbangan yang sewajarnya antara menawarkan kemudahan dan melindungi pelanggan daripada penipuan, terutamanya mereka yang mempunyai status berisiko tinggi,” katanya.
Beliau berkata PayNet telah mengenal pasti lebih daripada 1,600 akaun mencurigakan dan kebanyakan daripadanya kemudiannya didapati mempunyai risiko baharu yang berkaitan.
“Ini menunjukkan potensi risikan pada peringkat rangkaian dengan mengumpul maklumat yang diperlukan oleh institusi untuk mengenal pasti risiko yang mungkin tidak dapat dilihat dari perspektif mana-mana institusi secara bersendirian,” katanya.
Sebagai menyokong perubahan ini, beliau berkata BNM telah memperkukuh asas pengurusan risiko teknologi dan pencegahan penipuan.
“Dokumen dasar metodologi pengurusan risiko yang disemak semula memperkukuh daya tahan institusi kewangan terhadap risiko berkaitan teknologi, risiko siber dan jenayah digital yang berkembang pesat.
“Sementara itu, respons institusi kewangan terhadap dokumen dasar penipuan yang baru dikeluarkan mengukuhkan lagi keupayaan pengurusan risiko penipuan selain menggalakkan penggunaan risikan, analitik dan teknologi secara bertanggungjawab,” katanya.
Melihat ke hadapan, katanya industri juga perlu beralih daripada pertukaran maklumat secara langsung kepada kerjasama rentas negara yang lebih tersusun dan diperkasa teknologi.
“Berteraskan kepercayaan, struktur tadbir urus yang kukuh dan mekanisme perkongsian maklumat yang selamat, potensi kerjasama antara sektor awam dan swasta serta antara pihak swasta boleh menjadi sangat kuat dan berkesan dalam memacu transformasi kewangan berasaskan risikan,” katanya.
-- BERNAMA