Am 06/10/2026 12:49 PM

F1: Bottas Berkayuh Dari Malaysia Ke Singapura

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
F1: Bottas Berkayuh Dari Malaysia Ke Singapura
Kredit: Instagram Valtteri Bottas

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Bukan kapal terbang atau kereta, sebaliknya pemandu Pasukan Formula 1 (F1) Cadillac Valtteri Bottas memilih cara agak luar biasa untuk perjalanan dari Malaysia ke Singapura, iaitu menunggang basikal.

Hanya beberapa jam selepas Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Malaysia 2026 berakhir pada Ahad lepas, pelumba berusia 37 tahun dari Finland itu memulakan perjalanan ke selatan untuk pusingan F1 seterusnya dengan kayuhan yang mencabar ketahanan.

Bottas berazam untuk merentas jarak melebihi 300 kilometer (km) dari Sepang ke Singapura yang dijangka mengambil masa beberapa hari sebelum beliau menyertai padok F1 bagi GP Singapura 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Okt.

“Ya, saya berbasikal ke Singapura melalui jalan-jalan yang jarang dilalui,” katanya menerusi hantaran Instagram. 

Perjalanan itu membawa Bottas melalui jalan berbatu kelikir dan laluan tanah merah termasuk merentas ladang kelapa sawit dalam kegelapan malam dengan hanya diterangi lampu pada basikalnya.

Peminat tegar aktiviti berbasikal itu juga bertembung dengan sekumpulan monyet dalam perjalanan selain melalui kawasan bersejarah Stadthuys di Melaka sebelum meneruskan kayuhan ke Johor. 

Berdasarkan perkongsian rekod Strava Bottas, hentian pertama selepas meninggalkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ialah Port Dickson melibatkan jarak 56.6 km dalam masa lebih sedikit dari dua jam.

Bekas pemandu Pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS itu kemudian meneruskan perjalanan meliputi jarak sejauh 161.91 km dalam masa lebih lima jam dan dilaporkan telah tiba di Muar, Johor sebelum meneruskan kayuhan menuju Singapura.

Strava ialah platform penjejakan kecergasan sosial yang merekodkan aktiviti seperti berbasikal dan berlari, termasuk jarak, laluan, tempoh dan kelajuan yang membolehkan pengguna menjejak serta berkongsi aktiviti senaman mereka.

Malah, kelibat Bottas sebenarnya biasa dilihat di sekitar Sepang sebelum GP Bahrain di Malaysia bermula kerana berbasikal di jalan yang dikelilingi ladang kelapa sawit bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini menjelang perlumbaan yang berlangsung pada hujung minggu lepas.

Perjalanan luar biasa Bottas ke Singapura itu menyusul selepas kekecewaan di GP Bahrain di Malaysia apabila beliau terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal akibat terbabas ke kawasan batu kelikir pada pusingan kesembilan.

Perlumbaan itu dimenangi juara dunia empat kali Max Verstappen daripada Red Bull Racing yang meraih kemenangan sulungnya musim ini.

Pendahulu kejuaraan dunia Kimi Antonelli daripada Mercedes menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton daripada Ferrari melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain Gulf Air dari 2 hingga 4 Okt, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

-- BERNAMA