KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyasarkan pengumuman harga tiket bagi operasi komersial Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibuat pada bulan ini dengan jualan tiket dibuka pada November.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata pengumuman itu dijangka dibuat Kementerian Pengangkutan dengan jangkaan operasi komersial ECRL bermula pada pertengahan Disember 2026.
“Kita menjangkakan harga tiket yang dinamik dan mampu milik, iaitu lebih rendah berbanding harga kapal terbang dan sedikit tinggi daripada bas,” katanya.
Darwis berkata demikian pada Taklimat ECRL kepada Pengarang Berhubung Kesiapsiagaan Operasi ECRL bersama dengan media di sini hari ini.
Beliau berkata untuk fasa pertama ECRL, bilangan perjalanan pergi balik dari Isnin hingga Khamis adalah sebanyak 12 kali dan 14 kali dari Jumaat hingga Ahad.
Selain itu, Darwis berkata pihaknya berpuas hati dengan kemajuan Fasa 1 (Kota Bharu-Gombak) projek ECRL yang mencapai 98.16 peratus setakat September lepas, serta yakin sasaran operasi pada pertengahan Disember ini dapat dicapai.
Beliau turut menekankan prestasi memberangsangkan Comprehensive Inspection Train (CIT) ECRL baru-baru ini yang melengkapkan perjalanan tanpa henti dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh tiga jam 19 minit meliputi jarak 519 kilometer pada kelajuan sehingga 160 km/j.
Pencapaian itu mengesahkan keupayaan ECRL untuk menyediakan perkhidmatan ekspres di laluan Gombak-KotaSAS-Kuala Terengganu-Kota Bharu dalam tempoh kurang daripada empat jam.
Rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer merentas negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di pantai barat Semenanjung Malaysia.
ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam berbanding sekitar tujuh jam melalui pengangkutan jalan raya.
-- BERNAMA